Carian
Project Gameface Yang Membolehkan Kawalan Menggunakan Wajah Kini Di Android
May 16, 2024 Fahim Zahar

Di Google I/O 2023, Project Gameface diumumkan sebagai projek yang membolehkan golongan OKU yang menggunakan peranti input konvensional seperti tetikus, melalukan kawalan menggunakan wajah. Ketika itu ia dibangunkan untuk digunakan di komputer dan tahun ini, Google mengemaskini projek ini agar ia turut boleh digunakan pada telefon pintar.

Project Gameface kini menyokong 52 gaya wajah berbeza termasuk membuka mulut, menaikkan kening, memandang ke sesuatu arah, mengenyit mata dan banyak lagi. Setiap gaya muka yang dilakukan boleh dipadankan dengan sistem Android seperti pergi ke skrin utama, membuka talam aplikasi, dan menyemak notifikasi.

Google menjadikan projek ini sebagai sumber terbuka di laman GitHub supaya pembangun boleh memanfaatkan teknologi ini ke dalam pelbagai aplikasi. Buat masa ini Google tidak menjadikan Project Gameface sebagai ciri ketercapaian rasmi untuk Android.

Pada hari ini juga Apple mengumumkan Eye Tracking yang membolehkan iPhone dan iPad dikawal dengan menjejak pergerakan mata sebagai sebuah lagi ciri ketercapaian baharu untuk OKU.

Komen