Carian
BreachForum Yang Menjual Data Peribadi Sekali Lagi Disita FBI
May 16, 2024 Amy Maizuraa

Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) hari ini sekali lagi menyita sepenuhnya laman BreachForum kerana ia menjadi tempat menjual data yang dicuri oleh kumpulan penggodam. Ia dilakukan hanya beberapa hari selepas data portal Europol Platform for Expert (PPE) digodam dan dipaparkan menerusi laman web gelap berkenaan. Namun tiada sebarang kebocoran data peribadi yang berlaku dilaporkan.

Rentetan daripada itu, FBI kini mempunyai akses penuh kepada data halaman berkenaan termasuk platform media sosial khususnya Telegram yang dijadikan medium utama penyebaran data dicuri. Dalam laman sesawang berkenaan turut memaparkan notis yang menyatakan bahawa laman web berkenaan telah ditutup oleh FBI dengan bantuan daripada beberapa agensi kerajaan termasuk Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ).

Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan bukti dan dalang lain yang terlibat. Selain itu orang ramai digesa salurkan maklumat kepada pihak FBI untuk membantu siasatan terhadap laman berkenaan.

Ini penutupan kali kedua yang melibatkan FBI dan laman berkenaan. Untuk makluman, laman BreachForum ini pernah ditutup pada Jun tahun lalu selepas pemiliknya iaitu Conor Fitzpatrick yang menggunakan nama atas talian Pompompurin ditangkap pada Mac. Pun begitu, beliau terlepas daripada hukuman penjara tetapi akan dipantau oleh pihak berkuasa selama 20 tahun.

Komen