Carian
Google Photos Memberikan 10 Ciri Suntingan Berbayar Secara Percuma Kepada Semua
May 23, 2024 Effi Saharudin

Google Photos hari ini mula memberikan akses kepada 10 ciri suntingan menggunakan AI secara percuma kepada semua. Ciri seperti Magic Eraser yang memadam elemen dalam gambar serta Unblur yang menajamkan gambar kabur sebelum ini hanya boleh diakses pengguna Pixel 8 atau mereka yang mempunyai langganan Google One.

Magic Eraser

Menurut 9to5 Google, ciri ini boleh digunakan percuma pada peranti Android dan juga iOS sejak semalam tetapi diberikan secara berperingkat. Walaupun percuma, setiap pengguna hanya boleh menyimpan 10 gambar yang disunting menggunakan AI setiap bulan. Jika mereka ingin melakukan lebih banyak suntingan, mereka masih perlu melanggan kepada Google One.

Perkhidmatan langganan bulanan semakin meningkat dan menjadi trend yang boleh menjana pendapatan kepada syarikat. Dengan memberikan akses kepada semua, Google pasti boleh meningkatkan jumlah langganan kerana ciri seperti Magic Eraser sangat berguna lebih-lebih lagi ketika melakukan suntingan di telefon pintar.

Pengguna tidak perlu mahir dalam Photoshop dan suntingan dilakukan semudah menekan sahaja elemen yang ingin diubahsuai. Senarai lengkap 10 ciri suntingan yang kini diberikan percuma adalah seperti di bawah.

  1. Cinematic photos
  2. Color pop
  3. HDR effect for Photos & Videos
  4. Magic Eraser
  5. Portrait blur
  6. Portrait light
  7. Sky suggestions
  8. Styles in collage editor
  9. Unblur
  10. Video effects
Komen