Carian
OpenAI Tangani Persetujuan Menggunakan Kandungan The Times, WSJ dan The Sun
May 23, 2024 Effi Saharudin

OpenAI hari in mengumumkan persetujuan dengan syarikat News Corporation (News Corps) untuk menggunakan kandungan berita yang dimiliki oleh syarikat tersebut. Menerusi perjanjian ini, OpenAI boleh menggunakan kandungan daripada The Times, The Wall Street Journal, Barron’s, MarketWatch, Investor’s Business Daily, FN, New York Post, , The Sunday TimesThe Sun; The Australian, news.com.au, The Daily Telegraph, The Courier Mail, The Advertiser, dan Herald Sun.

Persetujuan antara kedua-dua syarikat dianggarkan bernilai $250 juta dalam masa lima tahun dalam bentuk wang dan kredit menggunakan teknologi OpenAI. Hanya kandungan-kandungan berita daripada penerbitan di atas boleh digunakan tetapi kandungan lain milik News Corps seperti penerbit buku HarperCollins Corporations tidak terkandung dalam perjanjian ini.

Menerusi perjanjian ini, OpenAI boleh menawarkan maklumat yang lebih dipercayai menerusi sumber berita yang sahih. Pada waktu yang sama News Corps akan berkongsi kepakaran mereka kepada OpenAI untuk menghasilkan kandungan yang melepasi piawaian kewartawanan pada kesemua produk yang ditawarkan.

Walaupun persetujuan telah ditandatangani dengan New Corps milik bilionwan Rupert Murdoch, OpenAI masih berhadapan saman oleh The New York Times kerana didakwa melatih model AI tanpa kebenaran pemilik harta intelek.

Komen