Beberapa hari yang lalu, kami ada melaporkan bahawa Lenovo mempunyai pelan untuk menggunakan rekabentuk memori baru yang dinamakan LPCAMM2 DDR5 didalam komputer riba mereka tidak lama lagi yang mana ia merupakan sebuah memori yang hadir dengan kepadatan cip yang lebih tinggi, dan lebih mudah untuk dinaiktarafkan.
Terkini, MSI juga mengumumkan bahawa mereka akan mula menggunakan memori CAMM2 DDR5 pada papan induk Project 0 terbaru mereka, yang mana ia tidak akan mengganggu ketinggian paksi-Z pada papan induk mereka untuk memastikan papan induk ini muat dalam pelbagai jenis rangka komputer desktop.

Melalui poster yang diperlihatkan, MSI nampaknya akan bekerjasama dengan Kingston untuk memperkenalkan memori CAMM2 DDR5 ini, yang akan menggunakan sambungan skru yang sama untuk memasang memori ini pada papan induk.
Papan induk pertama Project 0 yang akan menggunakan memori ini nampaknya ialah sebuah papan induk Intel LGA 1700 yang menyokong cip pemprosesan Intel Alder Lake dan Raptor Lake, manakala berdasarkan poster yang sama, hanya satu slot memori CAMM2 DDR5 perlu digunakan.
Ini tidak begitu mengejutkan kerana Kingston dijangka akan menawarkan memori ini dalam pelbagai konfigurasi seperti 32GB, 48GB, 64GB dan 96GB dalam konfigurasi dwi-saluran dengan kelajuan memori mencecah 8000Mhz.
Memori seperti ini mungkin lebih berguna pada papan induk bersaiz Micro ataupun Mini-ITX. MSI dan Kingston mungkin dijangka memperlihatkan gabungan ini di acara Computex Taipei tidak lama lagi.