Tahun lalu buat pertama kalinya Apple memintas Samsung sebagai pengeluar telefon pintar terbesar dunia dengan 234.6 juta iPhone dikeluarkan. Samsung di tangga kedua dengan 226.6 juta. Ramai mungkin tidak menyedari 44 juta daripada jumlah peranti Samsung ini dikeluarkan oleh ODM. ODM digunakan kerana dapat mengurangkan kos pengeluaran dan sekaligus harga jualan.

Menurut laporan The Elec, tahun ini Samsung menyasarkan 67 juta telefon pintar akan dikeluarkan oleh ODM. Antara peranti yang dikeluarkan oleh ODM ialah Galaxy A03s yang dijual pada harga RM559 yang amatlah mampu milik. Samsung menggunakan khidmat ODM seperti Wingtech sejak 2019.
Hakikatnya untuk Samsung bersaing dengan pengeluar China, mereka perlu menawarkan peranti pada harga lebih kompetitif. ODM yang beroperasi di China dan Vietnam mampu mengilangkan peranti mampu milik dengan kos pengeluaran rendah bagi pihak Samsung. Hasilnya ialah semakin banyak peranti pelanduk dua serupa dengan spesifikasi setanding dengan perbezaan hanya pada logo di tubuh.