Carian
Ulasan Kobo Libra Colour – Bagaikan Rak Buku Dan Komik Dalam Satu Peranti Padat
July 18, 2024 Nazrin

Hampir dua tahun lalu, saya telah mengulas mengenai Kobo Clara E2, iaitu peranti pembaca ebuku keluaran Rakuten, dan saya katakan bahawa ia adalah sebuah pembaca ebuku yang padat dan sangat baik kerana ia menyokong banyak format fail ebuku yang tersedia pada masa tersebut.

Kini, pihak Kobo telah menghantar sebuah lagi pembaca ebuku terbaru mereka, iaitu Kobo Libra Colour, yang tampil dengan penggunaan skrin e-ink dengan kebolehan untuk mengolah warna.

Rekaan Dan Spesifikasi

Kobo Libra Colour tampil dengan rekaan yang serba minimalis, dengan rangka plastik berwarna putih dan paparan skrin E Ink Kaleido 3 bersaiz 7.0 inci yang mampu memaparkan 4096 warna. Di tepi paparan ini adalah dua butang yang boleh digunakan untuk menukar muka surat buku yang dibaca, manakala butang kuasa pula terletak di bahagian belakang peranti ini.

Dari segi spesifikasi, Kobo Libra Colour ini memperlihatkan beberapa penambahbaikan dari segi penawaran komponen. Pertama ialah penggunaan cip pemprosesan dengan kuasa pemprosesan 2GHz bersama-sama bateri 2050 mAH untuk menampung penggunaan paparan E Ink Kaleido 3 baru ini.

Untuk storan pula, sama seperti Kobo Libra sebelum ini, ia tampil dengan storan dalaman 32GB yang pada hemat saya cukup besar untuk menyimpan beratus-ratus, jika bukan beribu bahan bacaan di dalam peranti ini. Di bahagian tepi Kobo Libra Colour ini pula ialah palam pengecasan USB Type-C yang diperlukan untuk mengecas peranti ini.

Aksesori

Kobo Libra Colour ini juga hadir dengan dua buah aksesori yang boleh dibeli secara berasingan. Pertama ialah Notebook Sleep Cover untuk Kobo Libra Colour, yang merupakan sebuah rangka penutup magnetik yang boleh digunakan untuk menutup paparan Libra Colour dengan cepat dan mudah tanpa perlu menekan butang kuasa. Cara penggunaannya adalah sama seperti penutup Smart Cover untuk peranti tablet Apple iPad.

Aksesori kedua pula ialah Kobo Stylus 2, pena stylus khusus untuk Kobo Libra Colour yang membolehkan pengguna untuk mengambil nota ataupun membuat tandaan pada buku (lengkap dengan warna dakwat berbeza) yang dibaca.

Keunikan Kobo Stylus 2 berbanding dengan pena stylus sebelumnya ialah ia hadir dengan magnet terbina yang membolehkannya dilekapkan pada Kobo Libra Colour, dan penggunaan palam USB Type-C untuk mengecasnya, dan tidak lagi memerlukan bateri AAA untuk menguasakannya.

Pengalaman Pengguna

Jika Kobo Clara 2E sebelum ini memperkenalkan saya kepada dunia bahan bacaan digital yang mirip pengalaman membaca buku fizikal, Kobo Libra Colour adalah penaiktarafan terus kepada pengalaman tersebut.

Seperti yang dikatakan sebelum ini, berbeza dengan model Kobo yang saya ulas sebelum ini, paparan Kobo Libra Colour ini ialah penggunaan paparan E-Ink Kaleido 3 terbaru yang membolehkan pengguna membaca kandungan berwarna seperti komik, manga dan sebagainya tanpa menggunakan skrin peranti pintar biasa.

Kualiti bacaan dan penelahan kandungan buku digital sangat baik sekali, dimana teks dilihat cukup tajam walaupun dengan nilai kecerahan ditetapkan pada kadar yang lebih rendah. Satu sebab mengapa anda mungkin mahu menetapkan kecerahan skrin pada tahap yang lebih tinggi ialah untuk membaca komik berwarna, kerana pada nilai kecerahan yang rendah warnanya akan kelihatan agak pudar.

Satu aspek yang saya benar-benar suka pada Kobo Libra Colour ini ialah kebolehan untuk memuat-naik buku-buku digital padanya dengan lebih mudah menggunakan Google Drive. Anda hanya perlu mengikut arahan pada skrin, dan setelah akaun Google anda dipautkan pada peranti ini, anda hanya perlu memuat-naik fail buku digital pada folder Google Drive yang ditetapkan pada mana-mana peranti, dan memastikan bahawa peranti Kobo anda juga disambungkan ke rangkaian internet supaya folder Google Drive pada peranti anda diselarikan.

Bagi saya ini adalah lebih mudah berbanding dengan keperluan untuk memuat-naik fail-fail buku secara manual pada peranti, dan mempercepatkan proses menikmati buku-buku kegemaran saya.

Fungsi skrin sesentuh pada Kobo Libra Colour ini juga adalah sangat baik sekali. Saya menggunakannya untuk mengubah saiz teks pada skrin dan untuk menukar muka surat sekiranya saya malas untuk menekan butang di bahagian tepi pembaca Kobo Libra ini.

Bateri

Dari segi jangka hayat bateri pula, saya boleh menggunakan Kobo Libra Color ini untuk berminggu sebelum saya perlu mengecasnya, dengan kadar pembacaan sekitar dua jam sehari, setiap hari. Mengecas peranti ini juga adalah satu proses yang cukup pantas sekali, dan boleh dicas menggunakan kabel USB Type-C.

Mungkin dari segi kekurangan, apa yang saya dapat katakan ialah walaupun pembaca buku digital ini dilihat membantu dari segi penyimpanan bahan bacaan dan akses yang lebih mudah, ia tidak akan menggantikan perasaan membaca buku fizikal dari segi rasa, bau dan perasaan membelek setiap muka surat sebuah buku.

Walaupun begitu, kebolehan pengguna untuk membawa sebuah “rak buku” bahan bacaan anda kemana-mana bagi saya cukup tidak ternilai. Baru-baru ini, saya sempat terbang ke beberapa lokasi di luar negara untuk tugasan kerja, dan Kobo Libra Colour inilah yang menjadi peneman saya di dalam penerbangan.

Bosan dengan satu buku? Saya boleh tukar sahaja bahan bacaan dengan mudah tanpa perlu mengeluarkan beg saya untuk membaca buku lain dengan satu sentuhan pada pembaca buku digital Kobo Libra Colour ini.

Penutup

Jika anda seorang pembaca tegar, dan gemar membaca pelbagai jenis medium bacaan seperti novel, bibliografi, komik dan sebagainya, ia sangat mudah untuk saya mengesyorkan anda membeli Kobo Libra Color ini.

Pada tanda harga jualan RM1079, saya tidak akan mengatakan bahawa pembaca buku digital ini adalah murah ataupun mampu milik. Cuma, jika anda suka membaca tetapi tidak banyak ruang fizikal untuk menyimpan bahan bacaan, apa yang saya boleh katakan ialah peranti-peranti seperti Kobo Libra Colour ini adalah bagaikan membeli rak buku penuh dengan bahan bacaan yang boleh dibawa kemana-mana.

Dengan penawaran storan dalaman yang besar untuk fail-fail buku digital, dan juga penggunaan paparan skrin berwarna E Ink Kaleido 3, peranti ini secara ringkasnya boleh menggantikan koleksi buku fizikal anda, khususnya jika anda tidak mempunyai ruang yang banyak untuknya.

Pro:

  • Saiz padat, storan dalaman besar
  • Paparan E Ink berwarna
  • Sokongan Google Drive memudahkan muat-naik kandungan
  • Saiz storan besar
  • Paparan sesentuh yang berfungsi yang baik

Kontra:

  • Tanda harga mahal
  • Tiada aksesori yang disekalikan
  • Olahan warna pudar pada kecerahan rendah
Komen