Carian
Lenovo Mungkin Akan Memperkenalkan Legion Go Yang Lebih Mampu Milik
May 28, 2024 Fahim Zahar

Peperangan konsol mudah alih Windows kini sedang hangat. ASUS ROG Ally dilihat menjadi kegemaran ramai, sementara Lenovo Legion Go menawarkan pengalaman lebih unik dan MSI Claw A1M pula berani mencuba menggunakan cip Intel. Dengan acara Computex yang bakal bermula tidak lama lagi, ramai menantikan kehadiran iterasi ROG Ally baharu yang dilaporkan lebih berkuasa. Baru-baru ini, Windows Central pula melaporkan yang Lenovo turut mungkin akan hadir dengan sebuah Legion Go baharu.

Konsol mudah alih Windows 11 baharu Lenovo ini dikatakan adalah Legion Go Lite, yang mencadangkan ia mungkin adalah versi mampu milik. Tiada butiran spesifikasi didedahkan, tetapi sumber meramalkan Legion Go Lite mungkin akan hadir dengan saiz skrin lebih kecil atau dengan alat kawalan terbina yang tidak lagi boleh ditanggalkan. Cip dikatakan adalah siri AMD Ryzen Z1 yang mempunyai sedikit perubahan.

Jika Legion Go sekarang dijual pada harga bermula RM3699, mana tahu versi “Lite” nanti boleh didapati pada harga seakan ROG Ally iaitu bermula RM2599? Sama-sama kita nantikan sama ada adakah Lenovo akan melancarkan Legion Go Lite di Computex atau pun tidak.

Komen