Dengan pertelingkahan perdagangan yang sedang berlaku di antara Amerika Syarikat dan China, khususnya berkenaan sektor pembangunan cip semikonduktor, Malaysia kini dilihat sebagai salah sebuah negara yang cukup penting sekali apabila bercakap mengenai pembangunan dan pembungkusan cip-cip ini.
Hari ini, Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar telah mengumumkan Strategi Semikonduktor Kebangsaan, dimana kerajaan akan melaburkan sebanyak $5.3 bilion (~RM25 bilion) untuk melatih seramai 60 ribu jurutera semikonduktor dalam jangka masa lima ke sepuluh tahun untuk meningkatkan jumlah pakar dan sekaligus meningkatkan jumlah syarikat tempatan yang mahir dalam industri ini.

Menurut laporan Nikkei Asia, pelaburan ini akan disalurkan oleh syarikat dana kekayaan berdaulat seperti Khazanah Nasional dan sebagainya, dimana sejumlah besar dana ini akan dibekalkan untuk memberi latihan dalam teknologi rekaan, pemasangan, pembungkusan dan ujian cip semikonduktor yang akan meningkatkan lagi nilai Malaysia dalam sektor ini di persada antarabangsa.
Pelan strategi ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan, kerana Malaysia sudahpun dikenali sebagai destinasi syarikat-syarikat global seperti Intel, Micron, Infineon dan sebagainya sebagai lokasi pembangunan dan ujian cip-cip semikonduktor.

Intel dan Infineon sudahpun mengesahkan pelaburan $7 bilion dan $5 bilion untuk mengembangkan sayap mereka di Malaysia, manakala Micron membuka pusat pemasangan dan ujian cip mereka di Batu Kawan pada penghujung 2023.
Berbekalkan pengetahuan dan pengalaman dalam industri ini, ia tidak mengejutkan bahawa kerajaan mahu membangunkan industri semikonduktor yang lebih maju dan mampan. Idea kerajaan disini nampaknya ialah untuk menarik pelaburan syarikat-syarikat pembangun cip semikonduktor dan pelaburan asing supaya rakyat boleh memanfaatkan teknologi dan pelaburan yang dibawa masuk ke Malaysia, sekaligus menjadikan negara ini sebuah hab pembangunan cip semikonduktor bertaraf dunia.