Carian
Apple Store Pertama Akan Dibuka Di Malaysia Pada 22 Jun 2024
May 29, 2024 Aman

Apple hari ini secara rasminya mengumumkan pembukaan kedai fizikal pertama mereka di Malaysia, sekaligus membawa Apple Store yang dinantikan sekian lama oleh pengguna tempatan. Apple Store pertama ini dilokasikan di TRX Exchange, Kuala Lumpur, dan akan dibuka kepada umum pada 22 Jun 2024, pukul 10 pagi.

Untuk makluman, Apple Store bukan sekadar kedai yang menjual peralatan dan perkakasan Apple semata-mata, tetapi juga menawarkan pengalaman yang menyeluruh untuk perkhidmatan Apple, selain turut menjadi pusat komuniti dalam mengetahui pelbagai ilmu dan tips berkaitan penggunaan teknologi dan produk-produk Apple.

Seperti ramai sedia maklum, menjelang kepada pembukaan Apple Store ini, pihak Apple sendiri telah mengaktifkan beberapa kemudahan di Malaysia. Salah satunya adalah program tukar-beli Apple Trade-In yang menawarkan rebat ribuan ringgit apabila beralih ke produk Apple baharu. Disamping itu, Apple juga telah menyediakan bantuan khidmat kewangan untuk pembelian ansuran tanpa sebarang caj faedah tambahan.

Sementara dengan pembukaan Apple Store ini, kini pengguna turut boleh merujuk kepada pakar-pakar produk Apple, dinamakan Apple Genius dalam bertanyakan sejumlah perkara berkaitan pelbagai produk Apple. Daripada demo yang diperlihatkan kepada kami sendiri, wakil Apple di Apple Store mempunyai sebuah peranti khusus, yang boleh menghubungkan anda dengan mereka, sekaligus mengetahui pelbagai produk Apple yang anda miliki, dan beberapa maklumat berkaitan dengannya dalam memudahkan lagi proses membantu pelanggan sedia ada.

Untuk pelanggan baharu pula, anda boleh bertanyakan pelbagai perkara – dan para wakil Apple juga tidak begitu menekankan dan memaksa pengguna untuk membeli seperti di beberapa kedai yang lain. Pengguna juga boleh melakukan tempahan terus melalui web untuk sesi khas, dan seorang wakil khas akan hadir untuk memberikan pelbagai bantuan dan menjawab pertanyaan pengguna.

Apple Store Singapura

Tidak sekadar itu, Apple Store juga menyediakan sesi dinamakan Today At Apple, yang merupakan sesi perkongsian setiap hari dalam melakukan perkongsian dan pengajaran berkaitan pelbagai topik – termasuk kreatif, fotografi, pengaturcaraan, video, muzik, perniagaan, pendidikan dan sebagainya. Apple mengetengahkan pelbagai wakil dan pihak dalam melakukan perkongsian – sekaligus menawarkan sesi berbeza pada setiap hari.

Bagi anda yang berminat mengalami pengalaman peruncitan Apple ini, anda boleh berkunjung ke Apple Store di TRX Exchange, Kuala Lumpur bermula 22 Jun 2024 kelak.

Komen