Carian
Program Tukar-Beli Apple Trade In Kini Di Malaysia – Dapatkan Rebat Sehingga RM4200
March 26, 2024 Fahim Zahar

Pembukaan Apple Store pertama Malaysia di TRX semakin hampir apabila sedikit demi sedikit penawaran Apple Store ditawarkan. AppleCare+ telah pun ditawarkan memberi jaminan tambahan dan peluang membaiki produk Apple secara percuma. Terbaru, program tukar-beli Apple Trade In pula telah ditawarkan.

Pada aplikasi Apple Store dalam iPhone dan laman web Apple Malaysia, kategori Apple Trade In mula dipaparkan. Apple dilihat menerima iPhone, Apple Watch, iPad dan Mac untuk ditukar beli dengan produk Apple baharu. iPhone yang diterima adalah dari iPhone 7 sehingga iPhone 14 Pro Max dengan nilai rebat dari RM200 ke RM3900. Apple Watch pula dari Series 4 ke Apple Watch Ultra dengan nilai dari RM0 ke RM1950. iPad pula dari iPad Mini ke iPad Pro dengan nilai mencapai RM4200. Akhir sekali adalah Mac seperti Mac Pro, Mac mini, iMac, iMac Pro dan Macbook dengan nilai sehingga RM11,650.

Menurut Apple, setiap produk yang ditukar beli akan dikitar semula. Pengguna pula akan menerima wang kembali melalui kaedah pembayaran yang dilakukan. Misalnya anda tukar beli iPhone 13 ke iPhone 15, anda perlu bayar penuh terlebih dahulu dan selepas anda menerima peranti baharu anda perlu pulangkan iPhone lama tadi dalam tempoh 14 hari. Selepas Apple menerima peranti lama anda barulah wang akan dipulangkan. Sekiranya nilai lebih tinggi, baki wang akan dimasukkan ke dalam akaun Apple berbentuk kredit. Jumlah amaun yang anda akan terima adalah berdasarkan keadaan peranti yang dihantar.

Dengan Apple Trade In sudah ditawarkan, tidak lama lagi pasti Apple Malaysia akan menawarkan kategori produk Apple Refurbished. Kategori ini pernah muncul dalam aplikasi Apple Store pada iPhone dan iPad awal tahun lepas. Dalam semakan saya, nilai yang Apple tawarkan untuk peranti lama adalah agak tinggi berbanding pasaran sekarang. Jadi jika anda ingin beraya lengkap dengan ekosistem Apple dari iPhone ke Apple Watch ke MacBook inilah masa yang terbaik.

Komen