Carian
Skyworth Turut Melancarkan TV Karaoke, Frame+ Dan TV Mudah Alih Di Malaysia
May 29, 2024 Fahim Zahar

Hari ini, Skyworth Malaysia turut melancarkan beberapa televisyen lain yang unik dan menarik untuk pasaran Malaysia. Selain memperkenalkan televisyen QLED 100-inci di Malaysia, mereka turut melancarkan televisyen Google TV khusus untuk Karaoke, Frame+ sebagai jawapan kepada Samsung The Frame dan juga sebuah televisyen mudah alih ringan sekitar 4KG.

Karaoke TV

Ia adalah televisyen Google TV dengan panel QLED seperti penawaran Skyworth yang lain tetapi ia diintegrasikan dengan satu ciri kecerdasan buatan khas. Ciri pintar ini boleh membisukan vokal pada video muzik untuk hanya memainkan instrumen sahaja agar pengguna boleh karaoke. Televisyen ini juga hadir dengan pakej alat kawalan khas serta sepasang mikrofon Bluetooth. Dengan televisyen ini pengguna tidak lagi perlu melanggan ke perkhidmatan karaoke.

Frame+

Televisyen ini adalah jawapan Skyworth kepada Samsung The Frame yang menggunakan panel skrin dengan kemasan kusam. Ini bermakna, kandungan pada skrin boleh dilihat dengan jelas tanpa gangguan silau cahaya matahari. Ia juga boleh ditonton ketika suasana yang terang. Menurut Skyworth, Frame+ dibangunkan sebagai bingkai gambar premium dan bukannya televisyen. Mereka juga menyarankan pengguna membeli televisyen ini sebagai alat memaparkan karya seni bukan untuk menonton kandungan.

Follow Me

Ini pula adalah jawapan Skyworth kepada LG StandbyMe iaitu sebuah televisyen mudah alih. Menariknya, televisyen Skyworth ini amat ringan iaitu sekitar 4KG sahaja. Skyworth menyasarkan televisyen ini untuk pengguna muda yang kini gemar keluar bersama-sama rakan. Ia sesuai digunakan ketika berkhemah, ulangkaji, menikmati kandungan hiburan di mana-mana tanpa perlu risau akan bekalan kuasa.

Buat masa ini, Skyworth Malaysia masih tidak mengumumkan tarikh jualan televisyen ini. Spesifikasi lengkap juga masih belum didedahkan. Jangkaan saya, spesifikasi adalah sama dengan televisyen yang telah dijual di negara luar. Sama-sama kita nantikan pengumuman lanjut Skyworth Malaysia untuk televisyen baharu mereka.

Komen