Carian
Realme Mengesahkan Kehadiran Rasmi GT6 Di Malaysia
May 30, 2024 Amy Maizuraa

Realme GT merupakan rangkaian peranti yang sering memberi tumpuan terhadap keseimbangan antara rekabentuk dan prestasi menarik. Perkara penting yang diberikan perhatian kebiasannya meliputi pemilihan aspek tertentu yang selari era masa kini. Berkongsi perkembangan terkini mengenainya Realme secara rasminya mengumumkan kembalinya siri GT serba baharu di pasaran global termasuk Malaysia.

Gambar sekadar hiasan : Realme GT5

Melaluinya mereka akan memperkenalkan siri Realme GT6 yang dikatakan lebih baik berbanding sebelum ini dalam pelbagai aspek. Peranti bukan sahaja memanfaatkan teknologi AI terkini yang diyakini boleh mengubah cara pengguna berinteraksi seharian. Malah dikatakan mampu menetapkan penanda aras baharu untuk aspek perkakasan lain seperti paparan, cip pemproses dan sistem kamera. Pengenalan ini uga menandakan ‘kepulangan’ Realme dalam menawarkan siri GT ke pasaran global selepas terhenti sejak beberapa tahun.

Butiran terperinci mengenai produk masih belum didedahkan buat masa ini. Namun terdapat beberapa imej tular menunjukkan kotak Realme GT6 dengan penjenamaan NEXT AI. Ia juga menyenaraikan empat ciri AI generatif yang boleh disokong pada peranti seperti AI Night Vision, AI Smart Loop, AI Smart Removal dan AI Smart Search. Untuk lebih lanjut sama-sama nantikan kemaskini daripada Realme sendiri berhubung peranti termasuklah tarikh pelancaran kelak.

Komen