Carian
Siri Akan Lebih Bijak Mengawal Aplikasi dan Melakukan Multi Tugasan Pada iOS 18
May 31, 2024 Effi Saharudin

Siri ialah pembantu maya terawal yang memberikan ciri kawalan telefon pintar menggunakan suara. Semasa dilancarkan 12 tahun lalu, ia sebuah produk inovatif yang menyebabkan Google Assistant dan Samsung Bixby dibangunkan sebagai pesaing. Tetapi sekarang harus diakui kemampuan Siri adalah di belakang Assistant, Bixby dan Alexa sehingga ramai pemilik peranti Apple jarang menggunakannya.

Ini akan berubah menerusi Siri yang akan dikuasakan oleh kemampuan AI menurut laporan Bloomberg. Siri pada iOS 18 kelak akan lebih bijak mengawal aplikasi yang terpasang pada peranti. Sebagai contoh ia boleh diarahkan untuk memindahkan kedudukan fail, memadam emel dan melakukan kesimpulan untuk dokumen tertentu.

Pada peringkat permulaan, Siri hanya boleh melakukan satu tugasan sahaja. Kemudian menerusi kemas kini ia boleh mengambil beberapa arahan serentak misalnya melakukan rumusan dokumen panjang dan kemudian menghantar rumusan ini dalam bentuk emel kepada rakan misalnya.

Lebih banyak ciri akan diperkenalkan ketika acara WWDC pada 11 Jun depan. Sekiranya semua maklumat tertiris setakat ini adalah benar, 2024 akan menjadi tahun AI akhirnya digunakan oleh majoriti telefon mudah alih moden.

Komen