Carian
Acer Lancarkan Kamera Video dan Gambar 3D Dengan Teknologi SpatialLabs
May 31, 2024 Effi Saharudin

Acer SpatialLabs Eyes Stereo Camera telah dilancarkan hari ini beberapa hari sebelum acara Computex Taiwan. Kamera ini mampu mengambil gambar serta video secara 3D dengan ia menyokong teknologi SpatialLabs yang membolehkan kandungan ini ditonton tanpa cermin mata khas.

Tidak terhad di situ, Acer SpatialLabs Eyes Stereo Camera juga boleh digunakan untuk melakukan penstriman langsung secara 3D menerusi platform seperti YouTube. Sesi telesidang 3D menerusi Teams, Zoom, dan Google Meet turut disokong.

Kamera ini dilengkapi dua kamera 8MP di bahagian hadapan dengan cermin swafoto terbina. Tubuh kamera turut mempunyai kemampuan kalis air. Di belakang kamera terdapat skrin sesentuh LCD 2.41”. Bateri sebesar 1500 mAh membolehkan rakaman video sehingga 37 minit dan mengambil 180 gambar. Sambungan kepada PC dilakukan menerusi USB-C yang membolehkan ia beroperasi seperti kamera web biasa.

Kandungan yang dirakam serasi ditonton semula menggunakan set kepala AR/VR ataupun produk dengan teknologi SpatialLabs yang ditawarkan oleh Acer seperti Predator Helios 300 SpatialLabs Edition. Acer SpatialLabs Eyes Stereo Camera (ASEC-1) akan mula dijual bermula Q3 pada harga $549 (~RM2584) sebuah.

Komen