Cari @ Amanz

ASUS ROG Ally X Kini Rasmi Dengan Rekaan Lebih Ergonomik Dan Prestasi Berganda

Link Copied!

ASUS ROG Ally X adalah konsol permainan mudah alih Windows generasi kedua ASUS yang dinantikan ramai. Dua hari sebelum Computex 2024 bermula, ASUS telah melancarkan konsol ini. Menariknya, semua spesifikasi yang tertiris sebelum ini adalah tepat.

Apa yang baharu pada Ally X adalah bateri dua kali ganda lebih besar iaitu 80Wh berbanding sebelum ini 40Wh. Bukan itu sahaja, konsol yang dikemaskini ini turut dilengkapi dengan memori 24 GB RAM LPDDR5X berbanding 16GB, storan pula kini mencapai sehingga 1TB M.2 2280 NVMe dan pengguna boleh naik taraf storan sendiri. Butang D-Pad dan analog kini menggunakan versi baharu yang lebih tahan lasak sehingga 5 juta kali tekan dan turut menjanjikan kawalan yang lebih jitu.

Port sambungan XG Mobile kini digantikan dengan dua USB-C iaitu dengan USB 3.2 dan satu lagi dengan Thunderbolt untuk memberi pengguna lebih fleksibiliti pengecasan serta menggunakan aksesori pihak ketiga seperti dermaga atau GPU luaran. Kipas terbina di dalam kini adalah 23% lebih kecil dengan bilah yang 50% lebih nipis memberi aliran udara lebih baik. Dengan kekisi udara tambahan, Ally X turut boleh beroperasi dengan 6 darjah lebih sejuk. Aplikasi Armoury Crate SE kini di versi 1.5 yang menyokong pustaka permainan boleh dikustomasi serta kaedah kemas kini yang lebih selari.

Asus ROG Ally X turut menggunakan rekaan baharu yang lebih ergonomik, bahagian pemegang pada setiap sisi juga mempunyai corak untuk cengkaman tambahan dan walaupun beratnya lebih 70 gram – setiap komponen disusun semula ke bahagian tengah untuk menjadi lebih seimbang agar pengguna tidak merasai berat tambahan. Jika anda tidak menggemari warna putih kerana mudah kotor, Ally X kini hadir dengan warna hitam seakan MSI Claw A1M.

Lain-lain pada Asus ROG Ally X masih sama dengan Ally seperti cip AMD Ryzen Z1 Extreme (“Zen4” 4nm, 8-teras/16-bebenang, 24 MB jumlah cache, mencapai sehingga 5.1GHz) dan GPU AMD Radeon Graphics (AMD RDNA 3, 12 CU, mencapai 2.7 GHz, sehingga 8.6 Teraflops). Skrin adalah LCD 7-inci 120Hz dengan Gorilla Glass Victus serta AMD FreeSync Premium. Speaker stereo Dolby Atmos turut dikekalkan dan pengecasan juga masih kekal dengan kuasa 65W.

Buat masa ini harga jualan masih belum diumumkan tetapi dianggarkan mungkin akan mencecah sehingga RM4000 dan ke atas. Tarikh jualan di Malaysia juga masih belum diumumkan. Terus ikuti Amanz untuk maklumat lanjut mengenai produk Asus sepanjang acara Computex 2024 minggu ini.


Komen ()