Carian
Instagram Mula Memaparkan Iklan Yang Tidak Boleh Dilangkau
June 4, 2024 Effi Saharudin

Instagram mula memaparkan iklan pada susur masa pada tahun 2015 sebelum turut dipaparkan juga pada Stories pada tahun 2018. Kesemua iklan sebelum ini boleh dilangkah dengan pengguna menatal ke atas atau ke sisi untuk melihat kandungan lain yang lebih relevan. Instagram kini mula memaparkan format iklan baharu yang langsung tidak boleh dilangkau.

Sebaliknya kemampuan untuk menatal akan dihentikan seketika dan selepas beberapa saat barulah pengguna boleh kembali boleh menatal skrin. Iklan mula disedari pengguna sejak beberapa hari lalu dengan terdapat animasi menghitung secara mengundur di skrin seperti yang dipaparkan pada pengiklanan yang digunakan pada YouTube.

Reaksi pengguna Instagram di media sosial pada waktu ini ialah negatif kerana pengiklanan seperti ini mengganggu pengalaman menggunakan aplikasi. Setakat ini kami belum melihat lagi iklan seperti ini di Malaysia. Tetapi hakikatnya pengiklanan ialah cara perkhidmatan percuma menjana pendapatan.

Sejak tidak lagi boleh menjual data dan menjejak pengguna, cara yang lebih kreatif digunakan. Mungkin kelak Meta akan menawarkan pelan Premium pula yang mematikan semua iklan seperti yang telah ditawarkan kepada pengguna Kesatuan Eropah.

Komen