Gambar yang diambil jurugambar terkemuka Ansel Adams adalah penyebab gerakan pemeliharaan alam sekitar mula popular di Amerika Syarikat. Walaupun sekadar monokrom, keindahan alam sekitar yang berjaya diabdikan dalam gambar beliau cukup ikonik. Baru-baru ini keluarga mendiang mengkritik Adobe kerana menawarkan gambar janaan AI seakan gaya Ansel Adams menerusi Adobe Stocks.

Selepas menerima kritikan daripada keluarga mendiang dan orang ramai, Adobe telah membuang kesemua imej janaan AI ini kerana “tidak mematuhi terma dan syarat Adobe Stock”. Adobe Stock membenarkan imej janaan Ai ditawarkan kepada pengguna tetapi ia tidak boleh meniru gaya artis lain.
Sungguhpun gambar telah dibuang, keluarga Ansel Adams masih kecewa kerana rungutan mereka sebelum ini tidak diendahkan oleh Adobe. Penggunaan imej AI dalam karya ialah isu yang hangat di kalangan penggiat seni. AI generatif dilihat mencuri karya tanpa kebenaran dan menyebabkan artis sebenar tidak lagi mampu menjana pendapatan.
Adobe kini di dalam situasi yang sama dengan OpenAI yang menarik semula suara “Sky” di dalam ChatGPT kerana ia mirip Scarlett Johansson. Selepas dihantar surat peguam, OpenAI segera menarik semula suara seakan pelakon popular ini dan mengatakan ia tidak dilatih menggunakan suara beliau.