Semalam kami laporkan OpenAI menarik semula suara “Sky” yang boleh digunakan di dalam Voice Mode ChatGPT. Voice Mode ialah ciri seakan pembantu maya yang membolehkan pengguna berbual dengan ChatGPT seperti seorang manusia sebenar. Sebab yang diberikan ialah kerana Sky adalah mirip suara pelakon Scarlett Johannson dengan OpenAI mengatakan sebarang persamaan adalah tidak disengajakan.

Awal pagi ini, Scarlett Johansson mengeluarkan kenyataan bahawa beliau kesal suara seakan beliau digunakan oleh OpenAI tanpa kebenaran. Menurut Johansson, Sam Altman menghubungi beliau pada September tahun lalu untuk menggunakan suara beliau pada ChatGPT 4.0. Pelawaan Altman telah ditolak tetapi dua hari sebelum ChatGPT 4.0 dilancarkan, Altman sekali lagi menghubungi ejen Johannson bagi mendapat kebenaran.
Beliau kemudian terkejut,marah dan kesal apabila mendengar demo suara Sky dalam ChatGPT 4.0 yang amat mirip dengan suara beliau. Oleh itu tindakan guaman telah diambil supaya suara ditarik semula dan OpenAI perlu menyatakan suara siapa telah digunakan untuk Sky. OpenAI semalam mengatakan suara pelakon lain digunakan tetapi enggan mendedahkan identiti individu tersebut.
Malahan Altman menghantar ciapan di X/Twitter pada 14 Mei di atas yang mengesahkan terdapat perkaitan antara suara Sky dengan suara pembantu maya Samantha yang dilakonkan oleh Johansson dalam filem Her yang diterbitkan pada tahun 2013.
OpenAI berhadapan beberapa kes saman berkenaan pelanggar harta intelek. Mereka juga enggan mengatakan sama ada Sora yang menjana video dilatih menggunakan video YouTube tanpa kebenaran. Dengan Black Widow kini memasuki gelanggang, masalah yang dihadapi oleh OpenAI semakin runcing.