Di bawah subjenama CMF, Nothing menawarkan aksesori seperti jam tangan pintar dan TWS. Beberapa hari lalu Nothing mengacah pelancaran sebuah peranti baharu yang ramai menyangka ialah Nothing Phone (3). Tetapi kini rekaannya tertiris dan ia sebenarnya ialah telefon pintar pertama di bawah subjenama CMF yang dilaporkan sebelum ini.

Peranti dengan nama jolokan sementara Nothing CMF Phone (1) ini ialah sebuah telefon pintar kelas pertengahan yang dijana cip Dimensity 7200, skrin 6.7″ OLED, 6GB RAM, storan 256GB, kamera utama 50+50 MP, kamera swafoto 16MP dan bateri 5000 mAh dengan pengecasan 33W.
Keunikan peranti ini ialah panel belakang yang dikatakan boleh ditukar atau disambung dengan aksesori tertentu keluaran CMF. Antara aksesori yang bakal ditawarkan ialah tali dan kerangka tahan lasak. Sudah lama telefon pintar dengan kerangka boleh tukar serta aksesori tambahan tidak ditawarkan di pasaran. Kali terakhir ia adalah siri Motorola Moto Z dengan aksesori Moto Mods mereka pada tahun 2016.
Sistem lampu glyph pada panel belakang tidak diberikan pada peranti yang lebih mampu milik ini. Kerana Nothing sendiri telah mengacahnya, besar kemungkinan telefon pertama CMF akan dilancarkan dalam tempoh terdekat.