Carian
Noctua Memperlihatkan Prototaip Sistem Penyejukan CPU Menggunakan Proses Termosifon
June 6, 2024 Nazrin

Noctua ialah jenama pembuat kelengkapan penyejukan udara CPU yang cukup terkenal untuk blok penyejukan CPU mereka yang mengalirkan haba dari komponen CPU ke udara dengan cekap tanpa memerlukan sistem penyejukan cecair seperti yang dilakukan oleh banyak jenama penyejuk CPU yang lain.

Di acara Computex Taipei pada tahun ini, selain daripada bekalan kuasa yang dibangunkan bersama-sama Seasonic, Noctua turut memperlihatkan sebuah prototaip penyejukan CPU yang menggunakan cecair. Perbezaan paling ketara diantara prototaip ini dengan penawaran penyejuk CPU AIO yang lain ialah ia tidak menggunakan pam di bahagian CPU.

Noctua bekerjasama dengan Calyos, sebuah syarikat yang merupakan pakar dalam memperkenalkan sistem penyejukan berfasa untuk industri automotif, penerbangan dan juga tenaga lestari.

Kedua-dua syarikat ini menggunakan teknik pengaliran haba yang dinamakan thermosiphon (termosifon) yang menyerupai paip haba dan kebuk wap (vapor chamber) dimana cecair penyejuk didalam radiator akan mengalir ke bahagian bongkah penyejuk CPU menggunakan graviti dan menjadi wap air. Wap air ini kemudiannya akan dialirkan kembali ke radiator untuk disejukkan melalui sirip penyejuk radiator dan juga kipas yang digunakan.

Proses ini akan diulang setiap kali proses CPU menyebabkan komponen tersebut menjadi panas, dan dari segi konsepnya buat masa ini, ia akan mengurangkan penggunaan kuasa elektrik yang secara lazimnya akan digunakan untuk menguasakan pam untuk mengalirkan cecair dari komponen CPU kembali ke radiator.

Prototaip yang diperlihatkan di reruai Noctua di Computex hadir dengan radiator bersaiz 240mm, tetapi berkata bahawa mereka juga sedang menguji prototaip ini dengan radiator bersaiz 360mm. Penyejuk termosifon ini masih lagi berada dalam fasa ujian, dan Noctua tidak mengetahui bilakah ia akan bersedia untuk diperkenalkan ke pasaran.

Komen