Carian
GSKILL Juga Memperlihatkan Penawaran Memori CAMM2 – GSKILL RipJaws DDR5 CAMM2
June 6, 2024 Nazrin

Diantara komponen menarik yang diperlihatkan di acara Computex Taipei pada tahun ini bagi saya ialah memori DDR5 CAMM2, yang menyerupai sekeping storan SSD M.2, tetapi memperlihatkan cip memori DDR5 yang cukup banyak sekali.

GSKILL, sebuah jenama memori yang cukup terkenal di kalangan pembina PC telah memperlihatkan penawaran memori DDR5 CAMM2 di reruai mereka, dan ia dinamakan GSKILL RipJaws DDR5 CAMM2. Ia dilihat hampir menyerupai memori Kingston Fury Impact DDR5 CAMM2, tetapi kali ini kami berpeluang memegangnya.

Memori GSKILL RipJaws DDR5 CAMM2 ini mempunyai sebanyak 48GB dengan kelajuan sehingga 7800MT, sedikit lebih tinggi berbanding penawaran Kingston yang mempunyai memori sebanyak 32GB. Daripada apa yang kami dapat lihat juga, GSKILL menggunakan cip memori DDR5 yang dibangunkan SK Hynix untuk memori mereka.

Di reruai GSKILL, kami juga sempat melihat bagaimanakah memori ini dipasang pada papan induk, dan nampaknya di bahagian belakang memori ini, terdapat jejak pin yang mana memori ini boleh disambungkan ke papan induk seperti anda memasang sebuah CPU.

Sama seperti apa yang kami tanyakan kepada pihak Kingston, jurucakap GSKILL juga mengatakan bahawa format memori ini masih belum melepasi pengesahan JEDEC lagi, jadi buat masa ini terdapat kemungkinan bahawa ada perubahan yang masih lagi boleh dilakukan.

Pihak GSKILL juga mengatakan bahawa buat masa ini, mereka hanya mempunyai penawaran memori 48GB buat masa ini, tetapi apabila rekaan memori ini sudah ditetapkan kelak, mereka juga akan tampil dengan penawaran lebih kecil dan besar bergantung kepada keperluan pengguna.

Komen