Hari ini NVIDIA menjadi syarikat dengan nilai pasaran kedua tertinggi di dunia selepas memintas Apple. Mereka masih lagi di belakang Microsoft tetapi ketiga-tiga syarikat teknologi serangkai ini mempunyai nilai pasaran lebih $3 trilion. Nilai saham NVIDIA melonjak kerana cip dan GPU kecerdasan buatan (AI) mereka yang kini menjadi perkakasan dengan permintaan tinggi bagi melatih model AI terkini.

Menurut laporan The New York Times, Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) dan Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan (FTJ) telah diberikan kebenaran untuk memulakan siasatan ke atas NVIDIA, Microsoft dan OpenAI kerana didakwa melakukan amalan monopoli industri AI.
DOJ akan menyiasat sama ada NVIDIA melakukan amalan monopoli menerusi perkakasan dan perisian yang diperlukan untuk melatih model AI. Pada suku lalu, NVIDIA memegang 90% pada pusat pangkalan data. Sementara itu FTC akan menyiasat pelaburan $10 bilion Microsoft ke dalam OpenAI pada Januari lalu. Siasatan juga akan dilakukan ke atas perjanjian antara Microsoft dan Inflection AI bernilai $650 juta.