Carian
Warga Emas Jepun Digalakkan Menyertai Acara Esukan Bagi Mengelakkan Nyanyuk
June 7, 2024 Effi Saharudin

Di media sosial kerap kali kami melihat pendapat yang mengatakan apabila anda sudah dewasa anda perlu berhenti menikmati permainan video. Golongan ini percaya permainan video hanyalah sesuai untuk kanak-kanak kerana ia membuang masa. Namun di Jepun, terdapat pendapat yang berbeza dengan warga emas digalakkan pula menyertai acara esukan.

Warga emas yang menetap di Wilayah Kumamoto digalakkan menyertai acara sukan bagi mengelakkan menjadi nyanyuk menurut laporan NHK. Permainan Taiko no Tatsujin: The Drum Master  menjadi pilihan penganjur yang ingin mencari pemain terbaik yang akan mewakili wilayah mereka ke peringkat nasional.

Taiko no Tatsujin: The Drum Master dipilih kerana ia memerlukan pemain mengingati pola paluan gendang dan pada waktu yang sama menggerakkan tubuh pemain. Dengan ini minda akan sentiasa aktif dan tubuh akan bergerak aktif walaupun pada usia tua.

Jepun pada ketika ini mempunyai lebih 30 juta penduduk berusia 65 tahun dan ke atas. Statistik yang membimbangkan kerana ia hampir sama dengan jumlah penduduk Malaysia yang kini mencecah 33 juta. Dengan kadar kelahiran semakin berkurangan, Jepun menghadapi isu kekurangan tenaga kerja sehingga kerajaan mempunyai garis panduan menggunakan robot yang membolehkan seorang pekerja mengawalnya dari jarak jauh untuk tugas remeh di kedai serbaneka.

Komen