Carian
Kerajaan Jepun Ingin Menjadikan Teknologi Manusia Mengawal Robot Pengganti Diri Menjelang 2050
May 12, 2020 Effi Saharudin

Di dalam filem Avatar, Jack Sully mengawal robot organik yang diberi nama avatar untuk tinggal bersama kaum Na’Vi di planet Pandora. Konsep yang sama juga boleh dilihat di dalam filem Surrogate dan Ghost in The Shell. Tetapi bagi kerajaan Jepun, fiksyen sains ini perlu menjadi realiti menjelang 2050 di  bawah projek Masyarakat 5.0.

Dalam masa tiga dekad sahaja lagi, kerajaan Jepun ingin membebaskan masyarakat dari kekangan fizikal, mental, ruang dan masa. Visi mereka sebenarnya lebih hebat berbanding filem Avatar kerana sasaran membolehkan seorang manusia mengawal sehingga 10 avatar serentak menjelang 2030.

Antara sebab mengapa projek ini dimulakan adalah bagi menghadapi jumlah kelahiran yang rendah dan penduduk berusia yang semakin meningkat di Jepun. Sekiranya avatar menjadi realiti, lebih banyak kerja dapat dilakukan oleh seorang individu pada satu-satu masa. Malahan warga OKU Jepun juga tidak lagi mempunyai halangan fizikal untuk mempunyai kerjaya idaman tanpa halangan tubuh fizikal. Mereka yang berusia pula tidak perlu bersara untuk meneruskan kerjaya walaupun tubuh fizikal sudah terlalu uzur.

Jepun ialah negara pertama yang menjadikan agenda robotik ini realiti. Tidak mengejutkan sebenarnya kerana ia adalah konsep yang sering kali menjadi tema di dalam anime dan manga mereka. Malahan dua tahun lalu sebuah ujian membenarkan OKU bekerja sebagai pelayan di restoran dengan mengawal robot dan majlis graduasi menggunakan robot sebagai ganti graduan turut telahpun menjadi realiti di Jepun.

Komen