Carian
Bytedance Berminat Labur RM10 Bilion Jadikan Malaysia Hab AI Rantau
June 7, 2024 Effi Saharudin

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini berkata dalam pertemuan beliau dengan Helena Lersch, Naib Presiden TikTok hari ini, pihak Bytedance menyatakan cadangan melakukan pelaburan RM10 bilion di Malaysia bagi menjadikan negara kita sebagai hab kecerdasan buatan (AI) rantau ini.

TikTok melalui syarikat induknya ByteDance, telah sedia membangunkan pusat data di Sedenak Tech Park, Kulai, Johor. Bytedance dikatakan berhasrat untuk mengembangkan fasiliti pusat data mereka dengan pelaburan tambahan RM1.5 bilion bagi memenuhi keperluan masa depan.

Seperti yang kami laporan sebelum ini, pelaburan dalam industri AI di Malaysia telahpun diumumkan oleh Microsoft dan NVIDIA sebelum ini. Status Malaysia sebagai sebuah negara neutral menjadi tarikan pelabur dari Timur dan Barat.

Pengumuman pelaburan yang dilakukan syarikat mega Malaysia memang memberangsangkan tetapi hakikatnya impak AI ke atas rakyat dan juga alam sekitar masih enggan dibicarakan secara terbuka. Kita kerap mendengar AI akan meningkatkan produktiviti tetapi tidak pula memberikan penekanan ribuan individu yang kehilangan kerja. Namun, kerajaan sendiri telah memulakan langkah awal persediaan dengan menawarkan program latihan dan didikan seperti “AI Untuk Rakyat” secara percuma.

Impak ke atas alam sekitar khususnya dalam penggunaan tenaga dan air oleh pusat data menjadi isu besar di negara Barat tetapi belum lagi di Malaysia. Ia harus menjadi topik perbualan semasa kerana dalam keghairahan kita ingin menjadi hab AI rantau, kita tidak ingin generasi masa depan mewarisi dunia yang hanya tinggal habuk.

Komen