Carian
Canon Menghasilkan Lensa Yang Boleh Merakam Video 3D Spatial Apple
June 11, 2024 Fahim Zahar

Kita semua tahu yang sejak Apple Vision Pro diumumkan, Apple mula serius dalam pembangunan teknologi video spatial dan 3D yang imersif sehingga tertubuhnya Alliance for OpenUSD (AOUSD) untuk menyeragamkan kandungan 3D. Terbaru, Canon telah bekerjasama dengan Apple untuk lensa khas kamera Canon merakam video spatial.

Lensa RF-S7.8mm F4 STM DUAL dibangunkan khusus untuk Canon EOS R7. Lensa ini dikatakan adalah keluarga lensa EOS VR yang menggunakan dwi-lensa bagi merakam video spatial untuk ditonton dalam Apple Vision Pro. Ini secara tidak langsung menjadikan Canon sebagai kamera profesional pertama yang boleh melakukan rakaman video menggunakan format 3D spatial Apple.

Video yang dirakam diubah menjadi video spatial melalui aplikasi EOS VR Utility. Lensa ini mempunyai sudut pandangan seakan pandangan mata manusia untuk rakaman video 3D yang semula jadi. Lensa ini turut menyokong mod fokus pantas dan Canon EOS R7 perlu dikemaskini sebelum menggunakan lensa ini.

RF-S7.8mm F4 STM DUAL akan dijual pada suku ketiga tahun 2024 iaitu sekitar 21 September ke 20 Disember akan nanti. Tarikh spesifik dan harga jualan akan diumumkan di kemudian hari.

Komen