Carian
Ulasan Sony ULT Wear – Bass Meledak Seakan Bom Atom
July 11, 2024 Fahim Zahar

Anda ingat lagi Sony Extra Bass iaitu keluarga produk audio Sony yang memfokuskan bass semata? Daripada speaker ke set fon kepala semuanya menyokong mod khas yang akan menjadikan bass berdentum lebih kencang. Terbaru, ia telah menerima penjenamaan baharu iaitu ULT (Ultimate Power Sound) dan produk yang telah saya uji untuk beberapa minggu adalah fon kepala mereka iaitu Sony ULT Wear. Dalam artikel ini akan saya kongsi pengalaman penggunaan saya dan menentukan adakah fon kepala ini berbaloi untuk dimiliki.

SPESIFIKASI

Sony ULT Wear
JenisSet Fon Kepala Tertutup
Pemandu Audio40mm
Dinamik Tertutup
Magnet Neodymium
DSEE
MikrofonKondenser electret
Ciri PintarButang ULT
Sentuh untuk mod Ambien
SambunganBluetooth 5.2
Kabel 3.5mm
CodecSBC, AAC, LDAC
Bateri50 jam tanpa ANC
30 jam dengan ANC
3.5 jam pengecasan
KawalanAndroid,
iOS
Sony Headphones
HargaRM899

REKAAN DAN PENGGUNAAN

Saya mengharapkan ULT Wear menggunakan rekaan mirip Sony WH-1000XM5 iaitu fon kepala mercu mereka. Namun, Sony telah memilih untuk menggunakan rekaan mirip WH-1000XM4. Bukan sahaja bahan binaan yang lebih kurang, fon kepala ini turut boleh dilipat untuk mudah disimpan dalam kantung penyimpan atau beg galas masing-masing.

ULT Wear diperbuat daripada plastik yang cukup ringan dan dibina untuk rasa ia bukanlah produk mercu. Cawan telinga dan cekak kepala pula menggunakan bahan lembut dengan kemasan kulit palsu yang selesa dipakai dan cukup kedap. Cuma sayang sekali, cawan telinga sukar untuk digantikan kerana dipasang terus ke dalam bingkai.

Terdapat port sambungan USB-C, butang kuasa/Bluetooth, butang khas tukar mod ANC ke mod tembus bunyi dan juga butan ULT untuk tukar dari mod ULT 0, ULT 1 atau ULT 2 yang memberi kesan bass berbeza. Permukaan pada cawan telinga menyokong kawalan sentuhan gestur.

Sony ULT Wear ini juga selesa untuk dipakai selama 4 jam tanpa henti dan tidak mudah berpeluh walaupun di suasana yang agak panas. Cuma, penggunaan jangka masa panjang boleh rasa rimas sedikit kerana fon kepala ini sedikit ketat dan tidak cukup fleksibel berbanding WH-1000XM5 atau JBL Tour M2.

KUALITI AUDIO

Dari dulu lagi jika produk audio Sony saya akan pilih dalam siri XM kerana siri lain tidak begitu memuaskan berbanding pesaing. Untuk ULT Wear ini, pada awalnya ia memberi profil audio Sony seakan gabungan XM4 dan XM5 tetapi dengan sentuhan Extra Bass. Apa yang saya alami adalah ciri ANC dan mode tembus bunyi yang baik-baik sahaja tetapi tidak semua muzik sesuai dinikmati dengan set fon kepala ini.

Saya bukanlah peminat produk audio dengan bass yang berdentum kencang. Saya menggemari profil audio yang seimbang dan kalau boleh ubah kemampuan bass pun saya hanya mahukan perubahan yang sangat kecil. Masalah utama pada ULT Wear ini mod ULT 0 pun sudah rancak sehingga banyak lagu membuatkan saya ingin hentak kaki dan berdansa.

Sesetengah orang akan kata ini ciri bagus tetapi untuk saya tidak kerana saya tidak boleh duduk diam atau bertenang seperti ingin berehat atau ketika ingin membaca buku kerana seluruh tubuh badan menjadi hiper dan ingin bergerak-gerak dan bergoyang-goyang.

Nada tinggi pada fon kepala ini juga bersifat sederhana. Apabila satu nota itu sudah menghampiri tahap tinggi yang merdu ia terjatuh membuatkan pengalaman pendengaran tidak memuaskan dan seakan ada yang mengganggu. Anda bayangkan situasi ketika menyaksikan acara nyanyian secara langsung tiba-tiba telefon peminat di sebelah anda berbunyi kuat sehingga butiran lagu tidak lagi dapat didengari dengan penuh makna.

Bercakap mengenai persembahan, bagaimana pula pementasan audio ULT Wear? Ia terlampau digital dan diproses berbanding cuba mimik yang semula jadi. Pada awal, ia kedengaran seakan luas dan penuh imersif tetapi kebanyakan lagu lama-lama menjadi dekat dan walaupun ULT Wear selesa di kepala audio yang keluar membuatkan diri saya rasa rimas dan terperangkap. Jalan penyelesaian di sini adalah menggunakan aplikasi Sony Headphones App untuk mengguna ciri equaliser terbina.

ANC PALING OKAY!

Saya dan Jin (rakan pejabat yang kerap bantu ulas produk audio) bersetuju yang sejak Sony WH-1000XM5 kemampuan pembatalan hingar Sony tidak lagi sehebat zaman XM4 dan ke bawah. Begitu juga pada ULT Wear ini. Sehingga kami bersetuju yang JBL Tour M2 mempunyai kemampuan ANC yang lebih baik. Kemampuan pembatalan hingar fon kepala ini seakan XM4 yang cuba menjadi XM5 tetapi tidak berjaya.

Suara orang bercakap masih jelas kedengaran, ketika di dalam kapal terbang bunyi enjin masih boleh kedengaran dan bunyi notifikasi telefon juga masih jelas. Apabila saya bandingkan dengan JBL Tour M2, JBL lebih seimbang dan selesa sementara Sonos Ace lebih semula jadi seakan tiada apa-apa di kepala. Mod tembus bunyi juga sama, pada ULT Wear masih mempunyai kesan bunyi berbeza dengan fon kepala lain yang sudah menggunakan algoritma untuk menjadikan mod ini sejelas mungkin.

KAWALAN DAN APLIKASI

Jika anda biasa menggunakan produk audio anda tidak akan mengalami sebarang masalah dengan ULT Wear. Seperti yang saya katakan di atas, fon kepala ini masih menyokong tambatan NFC sementara turut menyokong tambatan pantas Google Fast Pair atau Microsoft Swift Pair. Kawalan boleh dilakukan pada permukaan cawan telinga kanan dan butang-butang fizikal terbina.

Kawalan dan tetapan lain boleh menggunakan aplikasi Sony Headphones yang bukan terhad untuk meningkatkan lagi kemampuan audio tetapi juga pelbagai tetapan sistem seperti mod spatial dan mod ANC automatik mengikut lokasi dan keadaan pengguna. Sony turut memberikan ciri sama pada XM5 iaitu kemampuan mencipta profil equaliser tersendiri yang pengguna boleh laras sambil memainkan muzik.

Saya masih tidak menggemari aplikasi Sony Headphones kerana agak berserabut dan kurang mesra pengguna. Aplikasi untuk produk audio di rumah iaitu Sony | Bravia Connect boleh pula menggunakan rekaan yang minimalis dan sangat mesra penggunaan, jadi saya harapkan aplikasi ini akan berubah dalam kemas kini akan datang.

BATERI

Menurut Sony, ULT Wear boleh bertahan sehingga 30 jam dengan ANC dan 50 jam tanpa ANC. Saya uji fon kepala ini ketika acara Computex di mana perjalanan pergi dan balik adalah sekitar 10 jam, kemudian saya ada gunakan untuk beberapa jam untuk tujuan tetapan dan memberi rakan pejabat mencuba – ia masih mempunyai bateri sekitar 20% dan saya tidak pernah cas sejak kali pertama menerimanya. Ini membuatkan saya yakin dengan ketahanan bateri yang dipromosikan oleh Sony boleh dipercayai. Cuma sayang sekali tiada sokongan pengecasan pantas dan ULT Wear perlu dicas selama 3.5 jam untuk bateri 100%.

APA ADA DALAM KOTAK?

Cukup menarik untuk melihat Sony masih memberikan banyak kabel percuma. Berikut adalah apa yang anda akan terima dalam setiap pembelian ULT Wear;

  • 1x ULT Wear.
  • 1x Kantung penyimpan fabrik.
  • 1x Kabel USB-A ke USB-C.
  • 1x Kabel bicu audio 3.5mm ke 3.5mm.
  • 1x Set buku panduan, keselamatan dan baucar promosi.

KESIMPULAN

Seperti yang saya katakan di atas, ULT adalah pengganti kepada siri Extra Bass yang terkenal pada suatu masa dahulu. Jadi, ULT Wear ini juga akan mengeluarkan audio yang memfokuskan kepada bass. Bass yang sangat kuat, dahsyat dan berdentum di tahap atom. Jika anda adalah seorang pengguna yang menggemari bass, ini adalah set fon kepala untuk anda.

Agak sayang yang Sony tidak ubah sedikit XM4 atau XM5 dan jual pada harga mampu milik sepertimana pengeluar gajet lain lakukan sekarang. Harga jualan RM899 sebenarnya agak mahal, tidak seperti zaman Extra Bass yang boleh dibeli pada harga sekitar RM500. Kita mungkin perlu nantikan model seterusnya atau nantikan diskaun lebih menarik untuk ULT Wear benar-benar berbaloi.

PRO/KELEBIHAN

  • Rekaan yang ringkas, ringan dan boleh lipat.
  • Cekak kepala dan cawan telinga yang lembut dan selesa.
  • Butang fizikal yang mudah diakses.
  • Masih ada ciri tambatan melalui NFC.
  • Aplikasi menyokong penyama profil audio tersendiri.
  • Bateri tahan lama.

KONTRA/KEKURANGAN

  • Seakan mengitar semula Sony WH-1000XM4.
  • Cawan telinga sukar untuk ditukar.
  • Bass yang terlampau berlebihan.
  • Aplikasi Sony Headphones masih tidak mesra pengguna.
Komen