Carian
Ulasan Sooka TV Stick – Saya Suka Sama Sooka
June 13, 2024 Fahim Zahar

Astro minggu ini telah melancarkan Sooka TV Stick, sebuah dongel Android TV untuk memudahkan orang ramai menikmati kandungan yang ditawarkan perkhidmatan ini. Sooka TV Stick adalah produk kedua Astro yang tidak mengikat pengguna kepada sebarang kontrak selepas NJOI. Adakah ia menarik dan berbaloi untuk dimiliki?

SPESIFIKASI DAN REKAAN

Sooka TV Stick
JenisDongel penstriman TV
PemprosesBroadcom Brahma B53
Cip4x 2.6GHz Cortex-A53
GPUBroadcom
RAM2 GB RAM
Storan6 GB
Sistem OperasiAndroid TV 12
SambunganHDMI 2.0
HDCP 2.2
Sumber kuasa10W USB-C
WiFiWiFi 6
BluetoothBluetooth 5.0
Bicu AudioTiada
AudioDolby Atmos
Harga JualanRM349 (Peranti sahaja)
RM579 (Langganan 12 bulan)

Sebelum saya kongsi pandangan saya mengenai Sooka TV stick, saya akan kongsi spesifikasi teknikalnya terlebih dahulu. Dongel ini dijana dengan cip Broadcom Brahma B53 4-teras 1.8GHz, memori 2GB RAM dan storan 6GB. Ia menjalankan Android TV 12 dengan pelancar Sooka TV tersendiri, selain turut menyertakan sokongan Chromecast dan kawalan menggunakan Google Assistant. Sooka TV Stick menyokong penstriman pada resolusi sehingga 4K serta sokongan audio Dolby Atmos.

Pada dongel terdapat dua butang fizikal untuk kuasa dan Bluetooth. Kemudian terdapat port USB-C untuk palam kuasa. Seperti Chromecast with Google TV, Sooka TV Stick memerlukan sambungan kuasa sepanjang masa. Palam kuasa 10W disertakan dan menarik di sini sebarang pengecas telefon pintar USB-C boleh digunakan sebagai ganti. Secara keseluruhan Sooka TV Stick ialah sebuah dongel Android TV yang telah diubahsuai khusus untuk perkhidmatan Sooka.

Untuk tidak mengelirukan orang ramai, dongel ini memang berkonsepkan plug & play di mana selepas anda beli anda boleh pasang dan terus nikmati kandungan. Cuma terdapat tetapan awal yang sedikit melecehkan kerana anda perlu ikuti tetapan Android TV menggunakan telefon Android. Jika anda adalah pengguna iPhone tetapan ini boleh dilangkau dan proses log masuk dilakukan kemudian.

Saya amat sarankan proses log masuk akaun Google jangan dilangkau kerana aplikasi pertama yang dibuka ialah Play Store untuk mengemaskini pelancar Sooka TV. Jika tiada akaun Google, proses kemas kini dan pemasangan aplikasi lain akan menjadi lebih leceh. Proses tetapan ini mengambil masa sekitar 5-10 minit bergantung kepada kelajuan Internet di rumah. Jika anda mempunyai rangkaian internet yang pantas di rumah, Sooka TV menyokong sambungan WiFi 6.

Selepas selesai, pelancar Sooka TV akan menjadi skrin utama anda. Tiada pilihan untuk memgubahnya ke skrin utama Android TV kerana ia telah dikunci pada tahap sistem. Dari muka hadapan pelbagai kandungan Sooka boleh dipilih dengan terdapat pelbagai menu untuk pintasan siri TV, acara sukan, filem, aplikasi dan tetapan disusun pada sisi kiri skrin.

Selepas selesai melakukan tetapan anda boleh mula padankan akaun Sooka dan dapatkan langganan pelan Premium dan Disney+ Hotstar secara percuma selama tiga bulan.

PENGALAMAN PENGGUNAAN

Untuk sebuah dongel dengan 2GB RAM, Sooka TV Stick cukup lancar dan pantas. Jika menggunakan Sooka 100% tanpa bergantung kepada aplikasi lain, dongel ini boleh dikatakan hampir sempurna. Saya pernah menggunakan aplikasi Sooka di TV Tizen sebelum ini dan saya boleh katakan pengalaman penggunaannya pada Sooka TV adalah lebih lancar.

Antaramuka juga ringkas dan mudah difahami seakan aplikasi Netflix di televisyen yang lebih berseri. Selain kandungan Sooka, terdapat juga akses untuk menstrim kandungan daripada RTM dan Astro Awani. Pendek kata ia seperti kotak TV Njoi tetapi dalam bentuk dongel pintar Android TV>

Isu yang saya hadapi ialah apabila mula memasang aplikasi seperti HBO Go, Prime TV dan DZN. Membuka aplikasi boleh mengambil masa sekitar 8 saat. Lebih banyak aplikasi dibuka dan dijalankan di latar belakang, semakin ketara lengah masa yang saya alami. Untuk kembali semula ke muka depan Sooka TV boleh mengambil masa sehingga 5 saat. Pengalamannya sama seperti Mecool KM7 yang diulas di Amanz tahun lalu.

Prestasinya berbeza dengan PRISM+ 65-inci dengan Google TV yang kami gunakan di makmal Amanz kerana prestasi adalah sekitar dua kali ganda lebih pantas walaupun ia turut dilengkapi cip empat teras Cortex-A53. Saya merasakan dari segi prestasi, masih tiada dongel yang setanding dengan Chromecast with Google TV yang dilengkapi cip empat teras Cortex-A55.

Sooka TV turut masih menggunakan codec VP9 dan tiada AV1 bermakna setiap penstriman akan menggunakan lebih banyak data jadi berhati-hatilah kepada pengguna yang menggunakan Internet dengan kuota data terhad. Seperkara lagi yang perlu dinyatakan ialah dongel tidak menyokong paparan HDR apabila memainkan kandungan Disney+ Hotstar, Apple TV dan Prime Video. Sedikit mengecewakan kerana majoriti TV di pasaran sekarang menyokong mod HDR.

Sooka TV Stick tiada masalah memainkan kandungan video 4K dengan audio Dolby Atmos tetapi ini terhad kepada aplikasi terpilih seperti Apple TV, Prime Video, Disney+ Hotstar, HBO Go dan YouTube. Kandungan Sooka sendiri buat masa ini masih terhad kepada FHD sahaja tetapi akan diubah dalam kemas kini akan datang. Kebanyakan kandungan sooka seperti drama dan filem lama yang telah berusia beberapa tahun kelihatan seakan fail 480p melalui proses upscaling 4K kerana seakan ada penuras digunakan. Antaramuka memainkan video sooka juga ringkas dan mudah dikawal.

MANA NETFLIX?

Agak aneh aplikasi Netflix langsung tidak boleh dipasang sedangkan apabila Apple TV, Prime Video, HBO Go, Durioo+, Disney+ Hotstar, Tonton, Viu, iQIYI dan banyak lagi boleh dipasang menggunakan Play Store. Menurut wakil Astro perkara ini hanyalah sementara kerana terdapat masalah teknikal dan mungkin berubah di masa akan datang.

Netflix bukan sahaja tiada di Play Store tetapi sistem Sooka TV turut menghalang pemasangan sisi menerusi fail APK . Tidak cukup dengan itu, memancarkan kandungan dari aplikasi Netflix di telefon pintar ke Sooka TV menggunakan Chromecast juga dihalang. Logo Chromecast dalam aplikasi tidak dipaparkan langsung. Tiada isu untuk menggunakan ciri Chromecast menerusi YouTube, Prime Video, Spotify ataupun HBO Go. Netflix dihalang sepenuhnya pada tahap sistem operasi.

ALAT KAWALAN DAN APLIKASI

Sooka ingin pengguna memanfaatkan alat kawalan jauh yang diberikan tetapi sayang sekali saiznya t kecil, tubuhnya tebal dan susunan butang tidak begitu mesra pengguna. Terdapat tiga butang utama iaitu Sooka, Apps dan YouTube. Butang juga agak keras untuk digunakan oleh itu saya berasa lega kerana aplikasi Google TV boleh digunakan dengan Sooka TV. Alat kawan jauh memerlukan dua bateri AAA untuk berfungsi.

Sooka TV ini turut ingin memudahkan pengguna seperti yang saya katakan tadi. Di dalam tetapan terdapat bahagian akaun pengguna yang memaparkan kredit dalam akaun sooka dan bila langganan akan tamat tetapi ia tidak boleh diakses. Walaupun aplikasi sooka tersedia pada Android dan iOS, pengguna masih perlu mengakses sooka di web untuk tambah nilai dan mengubah sebarang tetapan akaun. Kemudian jika pengguna tiada akaun Sooka, Sooka TV ini sukar untuk diakses.

DALAM KOTAK DAN TETAPAN

Di dalam kotak hanya terdapat.

  • 1x Sooka TV Stick
  • 1x Alat kawalan jauh IR/Bluetooth
  • 1x Palam kuasa USB-C
  • 1x Buku keselamatan dan panduan

KESIMPULAN

Dongel ini memberikan pengalaman penggunaan yang memuaskan jika anda tidak memiliki sebarang televisyen pintar moden. Pada hemat saya, Sooka TV stick ini adalah untuk pengguna NJOI yang ingin menaik taraf ke sistem yang lebih terkini dan mengakses pelbagai perkhidmatan penstriman di secara tempat. Dongel ini paling sesuai untuk mereka yang masih menggunakan televisyen lama dengan port HDMI atau jika televisyen mereka tidak boleh memasang aplikasi Sooka.

Dengan kata lain jika anda adalah peminat tegar pelbagai perlawanan sukan dan tidak melanggan perkhidmatan penstriman lain, sooka TV Stick yang berharga RM349 ini akan memenuhi keperluan anda. Jika ingin jimat, berkas bersama langganan sooka Premium setahun dijual pada harga RM579 dengan bayaran ansuran RM50 sebulan.

Alternatif kepada Sooka TV Stick ialah dongel Realme atau Xiaomi (harga bawah RM200) atau Chromecast with Google TV boleh (harga bawah RM300 sekarang). Tiga dongel alternatif ini bukan sahaja lebih murah tetapi boleh melakukan lebih banyak perkara seperti boleh memasang Netflix dan sokongan Dolby Vision berbanding Sooka TV Stick. Anda juga boleh memasang aplikasi Sooka pada ketiga-tiga dongel Android TV ini. Pilihan terletak di tangan anda.

Pro

  • Sokongan sehingga resolusi 4K.
  • Sokongan audio Dolby Atmos
  • Menggunakan versi terkini Android TV 12 dengan pilihan aplikasi yang banyak.
  • Sokongan Chromecast and aplikasi Google TV
  • Mudah digunakan.

Kontra

  • Tidak menyokong Netflix.
  • Tiada sokongan output HDR10+ atau Dolby Vision.
  • Tidak begitu lancar jika banyak aplikasi dipasang.
  • Alat kawalan jauh kurang mesra pengguna.
Komen