Poco M6 4G dilancarkan secara rasminya di Malaysia sebagai sebuah lagi peranti dengan kamera besar 108MP mampu milik. Ia juga menawarkan spesifikasi yang mirip seperti Redmi 13 dengan perubahan kecil pada kemasan panel belakang peranti.

Berkongsi lebih lanjut, Poco M6 dilengkapi skrin LCD FHD+ sebesar 6.79-inci dengan kadar segar semula 90Hz. Cip MediaTek Helio G91-Ultra dengan pilihan memori sehingga 8GB LPDDR4X RAM dan storan 256GB (eMMC 5.1) digunakan sebagai tunjang utama. Selain turut menjalankan sistem operasi terkini HyperOS yang dibina berasakan Android 14.
Dwi-kamera utama digunakan pula terdiri dengan dengan 108MP Samsung ISOCELL HM6 bersaiz 1/1.67″ dan 2MP makro. Kemudiannya diikuti juga kamera swafoto 13MP yang diletakkan dalam lubang kecil di skrin hadapan. Bateri 5,030mAh turut disertakan dengan sistem pengecasan pantas 33W.

Lain-lain spesifikasi termasuk pengimbas cap jari sisi, bicu audio 3.5mm dan kalis air IP53. Bagi yang berminat, Poco M6 dijual di Malaysia dengan harga bermula RM699 (6/128GB) dan RM799 (8/256GB). Menariknya apabila anda turut berpeluang mendapatkannya dengan harga promosi serendah RM539 (6/128GB) dan RM639 (8/256GB) untuk masa terhad.