Carian
Rusia Menguji Kereta Kebal T-72 Yang Dikawal Menggunakan Set Kepala FPV
June 13, 2024 Effi Saharudin

Konflik Rusia-Ukraine telah berlarutan lebih dua tahun dengan ia telah mengorbankan ribuan askar di kedua-dua pihak. Kerana kekurangan anak mudah, Rusia mula mengambil banduan dan askar asing yang dipaksa berjuang di perbatasan. Ukraine pula terpaksa mengawal sempadan untuk mengelakkan anak muda yang boleh menjadi askar melarikan diri ke negara jiran. Kekurangan anggota tentera ini memaksa jalan penyelesaian kreatif diambil.

Penyelesaian bagi pihak Rusia ialah mengubah suai kereta kebal supaya boleh dikawal menggunakan alat kawalan jauh dan set kepala FPV yang dibangunkan untuk dron. Dalam video yang tertiris di media sosial, sebuah kereta kebal T-72AMT dikawal seorang individu yang memakai set kepala FPV. Kereta kebal ini dipercayai berjaya dirampas dari pihak Ukraine dan diubahsuai bagi melakukan eksperimentasi sama ada ia boleh digunakan di medang perang.

Kereta kebal T-72 memerlukan tiga orang krew untuk beroperasi. Dengan mengubahnya menjadi dron, seorang sahaja pengawal diperlukan dan sekiranya ia dimusnahkan musuh tiada nyawa akan terkorban. Konflik di Ukraine menunjukkan keberkesanan penggunaan dron cetakan 3D yang murah untuk memusnahkan kelengkapan tentera konvensional yang lebih mahal.

Ia juga konflik paling aneh dengan serangan yang dilakukan dirakam menggunakan video bagi tujuan propaganda. Tular di media sosial puluhan video kereta kebal Rusia yang meletup diserang menggunakan dron dan peluru berpandu anti kereta kebal (ATGM). Kerana keberkesanan dron, Amerika dan China kini mempercepatkan program membangunkan sistem anti dron dalam bentuk senjata laser, dan gelombang mikro.

Komen