Carian
EU Mengenakan Tarif Sehingga 38% Ke Atas EV China
June 13, 2024 Effi Saharudin

Hampir sebulan lalu, Amerika Syarikat mengenakan tarif sehingga 100% ke atas kenderaan elektrik (EV) yang diimport dari China bagi tujuan memastikan industri EV tempatan akan lebih dilindungi daripada persaingan. Semalam Kesatuan Eropah (EU) turut memperkenalkan tarif baharu ke atas EV China atas sebab yang sama.

EV yang dikilangkan di China akan dikenakan tarif antara 27.4 hingga 38.1% bergantung kepada kerjasama yang diberikan pengeluar semasa siasatan dilakukan ke atas industri permotoran China. EU mengenakan tarif 10% sahaja ke atas EV yang diimport dari China sebelum ini dengan China pula mengenakan tarif 15% ke atas EV keluaran EU di negara mereka. Selain BYD dan SAIC, Tesla turut terkesan dengan tarif baharu ini.

Walaupun EU mengumumkan tarif baharu semalam, tidak semua negara anggota bersetuju dengannya. Jerman misalnya mengatakan tarif yang dikenakan akan menyebabkan kerugian kepada semua pihak manakala Perancis dan Sepanyol pula menyokongnya. Jerman menentang kerana tidak mahu melihat China membalas tindakan EU dengan melakukan perkara yang sama.

China ialah pengeksport EV terbesar dunia pada ketika ini dan BYD pula ialah pengeluar terbesar. Subsidi yang diberikan oleh kerajaan China membantu pengeluar EV tempatan untuk menawarkan kenderaan yang dijual pada harga lebih mampu milik berbanding pesaing. Ini sekaligus mengancam pengeluar kenderaan Eropah yang semakin ketinggalan dari sudut teknologi dan penawaran produk.

Malaysia tidak mengenakan sebarang tarif ke atas EV import. Tindakan EU ini mungkin akan mendatangkan impak positif ke atas Malaysia dengan pengeluar China menawarkan EV yang lebih mampu milik di pasaran tempatan bagi mendapatkan pegangan pasaran terbesar selagi tarif tidak dikenakan.

Komen