Carian
Elon Musk Menyasarkan Tesla Menjadi Syarikat Bernilai $25 Trilion Dengan Penawaran Robot
June 14, 2024 Aman

Melalui mesyuarat pemegang saham Tesla hari ini, mereka telah sedia bersetuju untuk memberi Elon Musk ganjaran berjumlah $56 bilion. Disamping itu, pada masa yang sama, Elon Musk turut berkongsi beberapa perkara, termasuk melibatkan nilai saham syarikat berkenaan yang dijangka akan naik mendadak tidak lama lagi.

Menurut Elon Musk, Tesla akan menjadi syarikat bernilai $25 trilion apabila mereka mula menawarkan robot berbentuk manusia yang dinamakan Optimus.

Tesla sebelum ini telah mengumumkan perancangan membangunkan robot pada 2021 lepas, dan telah memperlihatkan perkembangan robot dinamakan Optimus beberapa kali. Robot berkenaan dijangka akan membantu manusia dan dalam industri untuk melakukan tugasan berulang.

Sebelum ini, Elon Musk sedia menjanjikan akan menghasilkan robot Optimus dengan bilangan terhad pada 2025 kelak. Namun, untuk makluman, sebelum ini beberapa kali Elon Musk telah melakukan janji, tetapi akhirnya ia tertangguh berkali-kali.

Buat masa ini, Elon Musk turut tidak menyatakan bilakah Tesla akan mencapai nilai pasaran $25 trilion berkenaan. Untuk makluman, pada hari ini, keseluruhan nilai syarikat S&P 500 hanya berjumlah $45.5 trilion. Apple yang kini menduduki takhta sebagai syarikat paling bernilai tinggi didunia mempunyai nilai pasaran sekitar $3 trilion pada hari ini.

Komen