Carian
Pemain Muzik Fizikal Dengan Antaramuka WinAmp Kini Menjadi Realiti
June 18, 2024 Effi Saharudin

Bagi majoriti insan yang kini di usia 35 tahun ke atas, WinAmp ialah gerbang kepada dunia menikmati audio MP3 ketika masih muda belia, pinggang masih gagah, lutut masih ketat dan perut masih rata seperti landasan kapal terbang. Dunia telah berubah dan kini tidak ramai masih menyimpan fail MP3 di komputer. Tetapi bagi yang masih mendambakan dunia muda beliau, kini wujud LinAmp – pemain muzik fizikal dengan antaramuka WinAmp.

LinAmp ialah pemain muzik berasaskan Raspberry Pie dengan skrin sesentuh LDC di hadapan. Ia menggunakan sepenuhnya antaramuka lalai WinAmp untuk mengawal muzik dengan ia dibangunkan oleh Rodrigo Méndez. Bahagian hadapan LinAmp dihasilkan menggunakan cetakan 3D sementara komponen dalaman terdiri daripada sebuah komputer Raspberry Pi 4 dengan storan 32 GB SD dan menjalankan sistem operasi Dietpi.

Skrin sesentuh 7.9” LCD di hadapan boleh digunakan seperti mana WinAmp digunakan pada PC. Pada waktu ini ia boleh memainkan pelbagai format audio seperti mp3, m4a, dan FLAC. Terdapat juga sokongan memainkan cakera padat dan juga menerusi pelayar fail peribadi.

Sokongan untuk bluetooth dan Spotify sedang dibangunkan untuk versi seterusnya. Malang sekali LinAmp ialah sebuah projek peribadi dan bukan produk komersial. Jika anda ingin menghasilkannya sendiri di rumah, projek LinAmp boleh diikuti menerusi pautan di bawah.

Komen