Carian
Pengalaman Menonton EURO Tahun Ini Adalah Paling Sampah Dalam Sejarah
June 18, 2024 Effi Saharudin

Saya insan yang agak berusia dan mengingati pengalaman menonton temasya EURO pertama pada tahun 1996 di England bersama Abah. Pada zaman ini tiada Astro dan hanya sebahagian perlawanan ditawarkan kepada umum secara percuma menerusi RTM. Komentar perlawanan dalam Bahasa Inggeris tetapi di studio aku saya disajikan komentar oleh Datuk Rahim Razali dan arwah Datuk Hasbullah “Bola” Awang.

Hampir 30 tahun sudah berlalu dan saya kini menonton EURO 2024 bersama anak sendiri. Secara logiknya dengan peredaran tiga dekad teknologi, pengalaman menonton sepak bola moden sepatutnya lebih baik tetapi dukacita dimaklumkan ia mungkin paling sampah dalam sejarah.

Tiada siaran bola percuma ditawarkan di RTM kerana kos yang semakin tinggi. Ini adalah perkara yang paling mengecewakan kerana bola sepak ialah “sukan rakyat untuk semua” tetap tahun ini hanya untuk mereka yang mampu sahaja. Saya tak boleh salahkan RTM dalam hal ini kerana sebagai pengamal media saya cukup faham dengan cabaran mengimbangi keperluan kandungan dengan apa mampu dibelanjakan oleh syarikat.

Sejak Astro mula bertapak di Malaysia, kita dibiasakan dengan keperluan melanggan untuk menonton acara yang lebih premium. Kekuatan Astro ialah ia mempunyai kemampuan menawarkan saluran tambahan untuk menonton beberapa perlawanan yang berlangsung serentak. Tidak seperti 1996, pada EURO 2020 yang berlangsung tiga tahun lalu, Astro menawarkan siaran pada resolusi 4K dengan audio Dolby Atmos. Perlawanan boleh dijeda sementara jika anda pergi ke tandas atau dikebelakangkan semula supaya anda boleh menonton gol yang baru sahaja dijaringkan.

Aplikasi Astro Go untuk EURO 2020

Menerusi aplikasi khas penonton boleh melihat statistik permainan secara masa nyata dan juga menonton secara lagi interaktif dengan memilih audio (boleh mematikan suara komentar) dan dari mana perlawanan ingin menonton. Menonton EURO 2020 menerusi Astro memang terasa seperti anda memang berada di zaman moden.

Ini membawa kita ke tahun 2024 di mana anda masih boleh menonton menerusi Astro, Sooka, Njoi dan SPOTV. Tetapi kali ini penstriman hanyalah pada resolusi 1080P HD penuh sahaja. Jika anda seperti saya yang mempunyai TV 4K dan 8K di rumah, visual perlawanan yang ditonton adalah menyedihkan pada TV dengan panel resolusi tinggi. Semalam dalam perlawanan Romania menentang Ukraine, ada beberapa ketika kualiti video yang ditonton pecah-pecah mengingatkan saya kepada kualiti video era Real Player atau siri TV yang disedut menggunakan Limewire ketika di universiti.

Lebih tidak boleh dimaafkan ialah aplikasi SPOTV di Android TV, ia tidak membenarkan saya mengawal video yang sedang ditonton. Jika saya ingin pergi ke minit ke 30 permainan England melawan Serbia, saya perlu menonton selama 30 minit. Bayangkan pada tahun 2024, ciri asal melangkau ke minit tertentu permainan tidak disokong. Ciri ini hanya disokong pada aplikasi SPOTV untuk telefon Android dan iOS sahaja. Jika anda baru ingin melanggan, saya sarankan anda melakukan langganan menerusi aplikasi Sooka kerana ciri ini wujud pada Sooka TV Stick yang baru diulas di Amanz.

Visual “HD penuh” di TV

Selain itu aplikasi SPOTV untuk Android TV juga antara yang paling tidak mesra pengguna. Apabila cuba mengakses segmen EURO 2024, aplikasi mengatakan terdapat 14 video yang boleh ditonton tetapi skrin kandungan memaparkan SIFAR video. Sebagai pelanggan pelan berbayar premium SPOTV, saya merasakan seperti ditipu bulat-bulat. Saya melanggan ke pelan ini kerana ingin menonton EURO di TV 65″ 8K bukan untuk menonton di telefon pintar skrin 6.8″.

SPOTV juga seakan melepaskan kimchi di tangga kerana penawaran kandungan yang agak acuh tak acuh. Kesemua permainan yang ditawarkan tidak mempunyai segmen pra-permainan, analisa separuh masa dan analisa selepas tamat permainan. Adalah canggung sekali menonton perlawanan bola tanpa penganalisa di studio sedangkan ia adalah perkara norma sejak berdekad lamanya. Dalam komen yang saya kumpul daripada penonton di media sosial, ramai merasakan pengalaman EURO 2024 terasa tidak lengkap tanpa segmen ulasan permainan di studio.

Hanya kawalan “main” dan “jeda” sahaja disokong dalam aplikasi SPOTV Android TV

Aplikasi penstriman sepatutnya menjadikan pengalaman menonton “secara halal” terasa berbaloi. Tetapi saya raya penawaran SPOTV untuk EURO 2024 tahun ini adalah sangat-sangat mengecewakan. Jika tidak mampu menawarkan yang terbaik, serahkan hak penstriman kepada syarikat yang lebih arif.

Netflix alan mula menawarkan penstriman acara sukan secara langsung tahun ini. Disney+ pula menawarkannya di Amerika Syarikat menerusi berkas ESPN dan di Eropah pula Prime Video juga menawarkan permainan liga terpilih. Sudah terlambat untuk menyelamatkan EURO 2024 di SPOTV. Saya hanya boleh berharap untuk Piala Dunia 2026 kelak, penawaran yang lebih senonoh boleh diberikan kepada penonton. Sekiranya tidak, jangan salahkan jika penonton memilih untuk menstrim secara haram.

Komen