Carian
Alice Camera Menyambungkan Sensor M4/3 Ke Telefon Pintar
June 19, 2024 Rihhadatul Aisy

Sedekad lalu terdapat usaha yang serius menyambungkan kamera telefon pintar dengan lensa kamera digital bagi membolehkan optik yang lebih berkualiti digunakan. Kemuncaknya ialah pengeluar kemudian menawarkan sahaja kamera berkuasa Android seperti Samsung Galaxy Camera. Trend menghasilkan kamera pintar kini sudah agak perlahan tetapi masih ada yang tidak mahu mengalah seperti Alice yang telah melancarkan kamera dengan sensor M4/3 yang boleh disambungkan kepada telefon pintar Android dan iOS.

Kamera ini dikuasakan sensor Sony M4/3 CMOS yang dipadankan kepada pemproses Snapdragon dan cipAI Google Edge TPU untuk membolehkannya mengambil gambar dengan hasil tangkapan yang bebas hingar serta keperincian yang tajam. Kemampuan merakan video pula ialah 4K 30p atau 1080P 60p sahaja.

Dengan sensor kamera yang 400 kali lebih besar daripada sensor iPhone, kualiti gambar yang dihasilkan pastinya lebih baik. Tidak ketinggalan, ciri AI juga disertakan bersama dengan ia berfungsi untuk ciri autofokus, white balance dan juga untuk melaraskan dedahan gambar. Menurut pengeluar, Alice Camera menyokong lensa kamera yang menggunakan cagak EF, A dan juga lensa kamera 35mm vintaj. Ia tidak dijual dengan sebarang lensa. Dari segi keserasian pula, sebarang telefon pintar dengan lebar 62- 80 mm boleh digunakan dengan Alice Camera.

Kamera Alice dibina dengan badan diperbuat daripada aluminium bersama slot kad mikro SD, port USB-C dan juga bicu audio 3.5mm. Bagi kapasiti bateri pula, kamera ini memiliki bateri terbina dalam kamera sebesar 5000mAh. Sebuah aplikasi khusus juga dibina untuk mengawal semua fungsi yang tersedia pada kamera dan untuk memudahkan pengurusan fail serta perkongsian hasil gambar.

Meskipun tidak dipasang pada telefon pintar, kamera ini masih dapat digunakan cuma peranti yang disambungkan masih diperlukan untuk membolehkan semua fungsi yang tersedia dapat digunakan dan menjadi viewfinder elektronik pada kamera.

Terdahulu, Kamera Alice daripada Photogram ini pernah dilancarkan pada awal 2021 dan sepatutnya dikeluarkan pada Oktober 2022. Namun, pihak mereka mengatakan bahawa tempoh masa yang lama untuk membolehkan kamera Alice ini dihantar kepada pelanggan adalah disebabkan oleh kekangan yang berpunca daripada COVID-19 yang melanda dunia sebelum ini.

Buat masa ini, penghantaran untuk pra-tempah adalah berada pada kelompok keempat dan dijangka akan dihantar pada bulan September depan. Walau bagaimanapun, untuk kebanyakan pasaran seperti Jepun, Amerika Syarikat, Australia, dan kebanyakan negara Eropah lain akan dihantar mulai 15 Ogos. Harga untuk seunit kamera Alice ini ialah $845 (~RM3,980).

Komen