Carian
Micron Dilaporkan Mahu Menambahkan Kebolehan Mengilang Memori HBM Di Malaysia
June 19, 2024 Nazrin

Micron, syarikat pembangun komponen memori terkemuka dari Amerika Syarikat hari ini telah dilaporkan mahu mengembangkan pegangan pasaran mereka dengan memperkenalkan lebih banyak penawaran memori, dan terkini, ia nampaknya termasuk penawaran memori HBM.

Micron di Amerika Syarikat sudahpun mula membina tertib pengeluaran ujian (test production line) dan dilaporkan sedang berada dalam perbincangan untuk menggunakan kilang mereka di Pulau Pinang, Malaysia untuk mengilang cip-cip memori HBM ini.

Ia merupakan sebahagian daripada strategi Micron untuk meningkatkan pegangan pasaran mereka terhadap memori HBM sebanyak tiga kali, dengan anggaran 25 peratus pasaran memori HBM global, sama dengan pegangan pasaran semasa untuk memori DRAM.

Selain daripada itu, Micron juga mahu mengembangkan pelbagai bahagian syarikat mereka, seperti pembangunan penyelidikan dan tertib produksi pengesahan (production and verification line) di ibu pejabat mereka di Boise, Idaho.

Buat masa ini, satu-satunya kilang pengeluaran memori HBM Micron terletak di Taichung, Taiwan, dan merupakan satu lagi lokasi dimana Micron akan menambahkan kapasiti pengeluaran memori HBM ini. Lokasi Pulau Pinang dipilih kerana seperti yang ditulis sebelum ini, mereka sudahpun mempunyai fasiliti pengilangan cip memori di Batu Kawan, Pulau Pinang, dan kapasiti boleh ditambah tanpa perlu membangunkan kilang baru di tempat lain.

Pengumuman ini dibuat kebarangkaliannya kerana setakat ini, tidak banyak syarikat pengeluar memori yang boleh mengilangkan memori HBM khusus untuk tujuan pemprosesan AI. Dua syarikat lain, iaitu Samsung Electronics dan juga SK Hynix adalah dua syarikat lain yang mempunyai kapasiti membangunkan cip HBM berkualiti tinggi ini, dan kedua-dua syarikat ini memegang lebih dari 40 peratus pegangan pasaran untuk memori tersebut.

Komen