Carian
CelcomDigi Dan Maxis Memenuhi Syarat Untuk Memiliki Pegangan Saham Keatas DNB
June 21, 2024 Nazrin

Isu pembangunan rangkaian 5G kedua kebangsaan nampaknya bakal memperlihatkan pengakhiran satu fasa lama, dimana CelcomDigi dan Maxis telah memaklumkan pihak Bursa Malaysia bahawa kedua-dua syarikat tersebut telah memenuhi syarat untuk memiliki pegangan saham keatas Digital Nasional Berhad.

Diantara syarat-syarat yang ditetapkan untuk membolehkan syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan membina sebuah rangkaian 5G kedua ialah untuk terlebih dahulu memastikan bahawa rangkaian 5G yang dibina DNB merangkumi 80 peratus kawasan berpenduduk di Malaysia pada penghujung 2023, dimana ia kini telah mencapai 81.5 peratus pada pertengahan tahun ini.

Kedua-dua syarikat telekomunikasi tersebut dilaporkan bersedia untuk melaburkan wang untuk pegangan ekuiti 14 peratus masing-masing, dimana Maxis juga mengesahkan bahawa mereka telah melengkapkan 100 ribu langganan saham baru DNB pada harga RM1.00 untuk setiap saham.

Dengan pengumuman ini, pihak DNB mengesahkan bahawa perjanjian langganan saham (SSA) mereka bersama lima syarikat, iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, YTL Communications dan Telekom Malaysia akan lengkap menjelang penghujung bulan ini, dan fasa seterusnya ialah untuk memulakan fasa pembangunan rangkaian 5G kedua.

Untuk Telekom Malaysia, mereka akan diberikan lanjutan masa sehingga 21 Ogos 2024 untuk melengkapkan SSA mereka kerana keperluan usaha wajar kerana kedudukan mereka sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Dibawah SSA ini, setiap syarikat juga akan memberi pinjaman sifar faedah sebanyak RM233 juta bersama-sama dengan pembelian 100 ribu saham DNB pada harga RM100,000.

Dengan ini, pegangan 70 peratus oleh syarikat telekomunikasi tempatan keatas DNB sudahpun lengkap, dengan pihak kerajaan melalui Kementerian Kewangan memiliki 30 peratus lagi pegangan keatas syarikat tersebut.

Komen