Carian
Apple Vision Seterusnya Mungkin Perlu Disambung Kepada iPhone dan Mac Untuk Berfungsi
June 24, 2024 Effi Saharudin

Apple Vision Pro tahun ini menerima sambutan luar biasa selepas dilancarkan sehingga dijual pada harga hampir RM25,000 di Malaysia bagi mereka yang ingin mendapatkannya lebih awal. Jualan Vision Pro akan dikembangkan lagi ke lebih banyak pasaran lagi minggu ini. Sebelum ini kami melaporkan Apple menangguhkan pembangunan Apple Vision Pro 2 sementara waktu untuk membangunkan set kepala Apple Vision yang lebih mampu milik.

Kini menurut laporan Bloomberg, set kepala Apple Vision mampu milik mungkin ialah sepasang cermin mata pintar yang perlu disambungkan kepada sebuah iPhone atau komputer Mac untuk berfungsi. Ini menjadikan dua peranti tadi sebagai “otak” untuk ia berfungsi sekaligus membolehkannya dijual pada harga lebih rendah.

Apple Vision Pro 2 masih lagi dalam perancangan tetapi hanya akan ditawarkan sekitar 2026. Ia akan dilengkapi pemproses lebih berkuasa, kamera yang dipertingkatkan dan lebih penting sekali akan lebih ringan berbanding produk generasi pertama.

Syarikat seperti Xreal telahpun menawarkan cermin mata pintar MR yang perlu disambungkan pada telefon pintar Android atau peranti perkomputeran spatial mereka Xreal Beam Pro. Ia mungkin langkah yang lebih munasabah kerana terdapat jutaan pemilik iPhone dan Mac di pasaran. Lebih ramai boleh membeli cermin mata Vision Pro mampu milik berbanding Vision Pro sekarang.

Komen