Carian
Bandar Pintar Dan Lestari Toyota Woven City Kini Sedia Menerima Penduduk
June 25, 2024 Effi Saharudin

Toyota ialah syarikat yang mempunyai reputasi membina kereta yang tahan lasak dan bertahan lama. Trak Hilux misalnya diberikan nama jolokan “tidak boleh dibunuh” kerana gagal dimusnahkan oleh pengacara rancangan Top Gear. Syarikat automotif Jepun ini kini cuba menjadi syarikat mobiliti lestari pula dan mereka kini bersedia membuka bandar pintar pertama mereka menjelang penghujung tahun ini.

Toyota Woven City ialah projek bandar pintar masa depan yang menggunakan sumber tenaga lestari, menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), hanya mempunyai EV dan mesra pejalan kaki. Projek ini dimulakan pada tahun 2020 dan kini sedia menerima penduduk pertama. Keperluan tenaga elektrik Woven City dijana oleh hidrogen hijau serta panel solar yang diletakkan pada setiap bangunan.

Terdapat zon khusus untuk pejalan kaki dan skuter elektrik sahaja. Jalan raya pula hanya membenarkan kenderaan elektrik bagi mengurangkan pencemaran termasuk pengangkutan awam. AI pula digunakan oleh penduduk untuk pelbagai tugasan kawalan peranti di rumah dan juga mengawal penggunaan tenaga di dalam bandar.

Woven City menjadi tempat Toyota mencuba kesemua teknologi mobiliti yang telah mereka bangunkan. Di sukan Olimpik lalu, EV keluaran Toyota telahpun digunakan di perkampungan sukan dan venue acara. Kini teknologi bas e-Palette misalnya akan diuji di dalam kawasan bandar masa depan sebenar. Sementara itu robot penghantaran makanan dan barangan juga akan beroperasi di Wove City menggantikan keperluan penghantar barangan manusia.

Penduduk terawal adalah kakitangan Toyota dan rakan perniagaan yang membangunkan teknologi-teknologi yang akan diuji. Golongan terpilih ini akan ditempatkan di 360 rumah yang sudah siap dibina. Kos membangunkan Woven City juga tinggi dengan ia dianggarkan menelan belanja £8 bilion (~RM48 bilion). Apabila siap kelak ia akan mempunyai keluasan 708,000 meter persegi dan 2000 tempat kediaman.

Komen