Tahun lepas, Blackmagic Design iaitu syarikat di sebalik kamera profesional untuk produksi filem dan perisian suntingan DaVinci Resolve telah melancarkan aplikasi kamera percuma untuk iPhone. Ia menawarkan kawalan profesional untuk melakukan pelbagai mod rakaman. Dua bulan lepas, Blackmagic mendedahkan yang aplikasi untuk Android pula akan ditawarkan dan kini ia sedia dimuat turun kepada yang berminat.

Blackmagic mengambil rekaan antaramuka kamera profesional mereka dan mengintegrasikan kepada versi aplikasi. Integrasi kepada Blackmagic Cloud untuk lebih mudah pemindahan data, sandaran dan suntingan terus ke dalam DaVinci turut disokong. Dengan aplikasi ini kawalan mengubah FPS, sudut pengatup, keseimbangan putih, ISO dan banyak lagi semuanya boleh dilakukan dengan mudah.

Ketika kerja rakaman sedang dilakukan skrin turut boleh memaparkan status rakaman seperti histogram, tahap fokus, bantuan bingkai atau juga peranti menegak tetapi ingin rakam nisbah 16:9 juga dibolehkan. Lebih menarik, Blackmagic Camera ini ditawarkan secara percuma tanpa sebarang bayaran atau langganan. Cuma buat masa ini, ia hanya disokong pada peranti Samsung dan Google Pixel terpilih seperti model mercu terkini dan model mercu tahun lepas.