Carian
Kabinet Dilaporkan Bersetuju Mewajibkan Lesen Operasi Untuk Media Sosial Di Malaysia
June 25, 2024 Effi Saharudin

Ura-ura Malaysia akan mewajibkan pengendali platform media sosial mempunyai lesen untuk beroperasi mula kedengaran sejak September tahun lalu. Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata pada waktu tersebut ia masih lagi dipertimbangkan tetapi pada bulan Disember rangka kerja untuk pelesenan telah mula disediakan oleh SKMM.

Semalam The Straits Times menerbitkan laporan kabinet telahpun bersetuju untuk menguatkuasakan pelesenan ke atas semua platform media sosial di Malaysia pada April lalu. Ia sepatutnya bermula Julai depan tetapi ditangguh bagi mengumpul maklum balas pemain industri.

Semasa ura-ura mula kedengaran tahun lalu, pelesenan ingin dikuatkuasakan bagi membolehkan perkongsian pendapatan dengan pengendali media tempatan. Kini ia turut merangkumi kawalan kandungan yang dibenarkan dan mekanisme untuk memadamnya.

Ini mirip yang dilakukan di Singapura. Di Indonesia, bukan sahaja media sosial tetapi platform digital seperti Steam dan PayPal memerlukan lesen untuk beroperasi. Sekiranya gagal, perkhidmatan akan dihalang.

Ada yang melihat ini ialah usaha kerajaan untuk mengekang kebebasan bersuara seperti yang telah berlalu beberapa kali di Facebook dan X/Twitter tahun ini. Tetapi pada waktu yang sama platform media sosial masih lagi culas dalam memastikan kandungan yang sensitif tidak dimuat naik berulang kali tanpa sebarang tindakan.

Komen