Carian
Ini Cara Memindahkan Data Google Podcast Ke YouTube Music
June 25, 2024 Fahim Zahar

Umum sedia maklum yang Google Podcast akan dimatikan pada tahun ini. Pengguna di Amerika Syarikat tidak lagi boleh menggunakan Google Podcast sejak 23 Jun, sementara pengguna di Malaysia mula menerima amaran dengan perkhidmatan akan ditamatkan secara berperingkat bermula minggu ini. Google kini ingin fokus kandungan audio mereka di satu platform sahaja iaitu YouTube Music.

Dalam artikel ini akan saya kongsi cara memindahkan data Google Podcast anda ke YouTube Music atau anda turut boleh mengeksport data anda ke platform podsiar lain. Perlu diingatkan, Google hanya memberi peluang pemindahan data ini sehingga 29 Julai.

1. BUKA APLIKASI GOOGLE PODCAST

Jika anda aktif menggunakan aplikasi Google Podcast, anda akan menyedari yang Google telah memberi amaran kepada pengguna Malaysia sejak bulan lepas. Buka aplikasi ini untuk mengikut arahan Google seterusnya. Anda akan menerima mesej “Google Podcasts is saying goodbye” dan mempunyai dua pilihan sama ada ingin Export subscription atau Learn more.

2. TEKAN EXPORT SUBSCRIPTION

Selepas anda pilih untuk Export subsciption anda akan di bawa ke laman khas. Dua pilihan diberikan sama ada ingin menggunakan YouTube Music atau platform pihak ketiga. Pemindahan ke YouTube adalah sangat mudah, jadi saya tunjuk kaedah ini.

Tekan Export di bahagian Export to YouTube Music, anda akan di bawa ke laman YouTube Music. Sahkan akaun Google yang ingin digunakan. Google kemudian memberi peringatan yang langkah ini akan memuatkan suapan RSS ke pustaka YouTube Music pengguna. Jika setuju terus tekan Continue. Bergantung kepada jumlah podsiar yang anda langgan atau ikuti, seperti saya hanya 8 ia mengambil masa kurang 10 saat untuk siap proses pemindahan.

3. NIKMATI PODSIAR DALAM YOUTUBE MUSIC

Anda kini boleh mendengar semua podsiar Google Podcast terus dalam YouTube Music dan boleh kawal semuanya sepertimana anda menggunakan YouTube Music. Anda turut kini boleh mencari kandungan podsiar baharu dalam YouTube Music dengan mudah. Kaedah ini walau bagaimanapun masih belum membenarkan pengguna Malaysia mengakses podsiar melalui aplikasi YouTube dan terhad pada YouTube Music sahaja.

4. PINDAH KE PODSIAR ALTERNATIF

Jika anda kecewa dengan Google dan takut kandungan podsiar dalam YouTube Music pula dihentikan suatu hari nanti, ini cara memindahkan data ke platform pihak ketiga. Sama dengan langkah 2 tadi, cuma lakukan pilihan kedua iaitu tekan Download di bahagian Export for another app. Anda akan menerima fail OPML (Outline Processor Markup Language) dengan nama google-podcasts-subscriptions. Antara platform popular yang menyokong fail OPML adalah Pocket Cast.

5. IMPORT FAIL OPML

Kaedah yang sangat mudah dan ringkas iaitu pasang dan buka aplikasi Pocket Cast. Kemudian log masuk akaun dan pergi ke tetapan di bahagian profil pengguna. Tatal ke bawah can cari Import & export OPML. Anda boleh import dan eksport, jadi pilih Import subscriptions dan cari fail anda muat turun dari Google Podcast tadi.

Selepas beberapa saat (bergantung kepada jumlah podsiar), ia terus dimuatkan dalam skrin utama Pocket Cast. Pocket Cast turut menawarkan pelan langganan untuk ciri premium yang meningkatkan pengalaman pendengaran pada harga bermula RM18.99 sebulan.


Selepas ini anda tidak lagi perlu risau jika tidak menyedari yang Google Podcast tidak lagi boleh memainkan podsiar kegemaran anda. Podsiar anda kini selamat di dalam YouTube Music dan Pocket Cast. Buat masa sekarang saya akan menggunakan Apple Podcast sambil bereksperimen dengan Pocket Cast. Anda pula bagaimana?

Komen