Carian
Cip Pemprosesan Intel Lunar Lake Dan Arrow Lake Dijangka Tiba Bermula Bulan September Ini
June 26, 2024 Nazrin

Di acara Computex Taipei pada awal bulan ini, Intel telah memperkenalkan siri cip pemprosesan komputer riba terbaru mereka, Intel Lunar Lake yang memperlihatkannya memasuki pasaran sebagai sebuah lagi cip pemprosesan yang memfokuskan terhadap kuasa pemprosesan kecerdasan buatan dalam peranti.

Cip pemprosesan tersebut sendiri dilihat hadir dengan banyak perubahan walaupun apabila dibandingkan dengan cip pemprosesan Meteor Lake yang dilancarkan sebelum ini, seperti ketiadaan ciri Hyperthreading, cip memori LPDDR5X terbina didalam cip, perubahan dari segi struktur binaan CPU, dan juga pengilangan menggunakan proses N3B oleh TSMC, dan tidak dikilang oleh Intel sendiri seperti CPU-CPU lain mereka.

Walaupun begitu, nampaknya butiran mengenai pengeluaran cip pemprosesan ini nampaknya telah tertiris ke arena web, dimana Benchlife, sebuah laman web berita teknologi melaporkan bahawa cip pemprosesan Intel Lunar Lake ini akan diperlihatkan sekitar bulan September kelak, dan peranti-peranti yang menggunakan cip pemprosesan tersebut akan mula diperlihatkan sebulan kemudian.

Dalam pada itu, mereka juga mengatakan bahawa butiran lanjut mengenai siri cip pemprosesan desktop Intel yang akan datang, iaitu Intel Arrow Lake juga akan diperlihatkan pada bulan Oktober ini. Ia dilihat akan memperkenalkan papan induk Intel Z890 yang masih menggunakan soket LGA 1851, tetapi akan memperlihatkan penambahan beberapa ciri-ciri baru.

Komen