Carian
Beats Pill Dilancarkan Dengan Fokus Terhadap Bass Dan Berharga RM779
June 26, 2024 Fahim Zahar

Beats Pill adalah sebuah speaker mudah alih yang popular yang memfokuskan kepada bass. Ia diperkenalkan pada tahun 2012 dan dihentikan pada tahun 2022. Kini selepas dua tahun sejak Beat Pill Plus dihentikan jualan Beats Pill baharu telah dilancarkan.

Speaker ini menggunakan pemandu audio racetrack woofer tersendiri yang memberi 90% isu padu udara untuk bass berdentum lebih kencang. Rekaan pemandu audio turut boleh mengurangkan kesan herotan audio walaupun menggunakan aras suara 100%. Pemandu audio turut mempunyai magnet neodymium yang memberi lebih 28% tekanan pada komponen untuk suara yang lebih jitu.

Beats Pill baharu turut mempunyai perlindungan IP67, bateri bertahan sehingga 24 jam, boleh dicas dengan USB-C, dan turut mempunyai cip tersendiri untuk tambatan pantas serta ciri mencari speaker dengan Apple Find My atau Google Find My Device. Sambungan USB-C turut membolehkan audio nirhilang dimainkan. Beats Pill turut mempunyai mikrofon untuk menjawab panggilan telefon atau mengawal pembantu maya.

Beats turut menyertakan ciri Amplify Mode untuk menyambungkan dua speaker sama yang boleh memberi pengalaman audio stereo. Terdapat empat butang fizikal pada speaker ini iaitu butang kuasa, butang media/pembantu maya dan dua butang untuk kawalan aras suara.

Di Malaysia Beats Pill dijual pada harga RM779 dengan pilihan warna Matt Black, Statement Red atau Champagne Gold. Tiada butiran tarikh penghantaran dan Apple Pickup diberikan buat masa ini.

Komen