Carian
Pendingin Hawa Dalam Baju Sony Reon Pocket 5 Kini Di Malaysia Pada Harga RM799
June 26, 2024 Fahim Zahar

5 tahun lepas, Sony Reon Pocket telah dilancarkan sebagai pendingin hawa dalam baju. Ketika itu, gajet menarik ini memerlukan aksesori poket dalam baju khas untuk digunakan dengan selesa. Kini generasi kelima telah tiba dengan rekaan lebih mudah pakai serta dengan ciri kawal suhu automatik.

Reon Pocket 5 dibina dengan plastik serta silikon untuk selesa dengan semua jenis kulit. Kali ini Sony turut menyertakan dwi-mod suhu iaitu sejuk yang boleh menyejukkan tubuh pengguna sehingga 23 darjah dalam bilik dengan suhu 35 darjah atau memanaskan tubuh sehingga 43 darjah dalam bilik dengan suhu 15 darjah. Bateri juga lebih tahan dengan sejuk tahap 5 adalah sehingga 4 jam, sementara sejuk tahap 4 boleh bertahan sehingga 7.5 jam.

Berat Reon Pocket 5 hanyalah 153gram dan dengan cekak leher disediakan, Sony yakin pengguna akan kekal berasa selesa sepanjang hari. Sony turut merekabentuk setiap bilah kipas dan motor sendiri agar ia boleh berfungsi pada tahap optimum tanpa mengeluarkan bunyi bising. Lima sensor turut sedia terbina untuk mengesan suhu serta kelembapan. Sensor pemecut turut disertakan untuk Reon Tag boleh menukar suhu secara pintar mengikut situasi pengguna.

Sony Reon Pocket 5 dijual di Malaysia pada harga RM799. Ia boleh dikawal dengan aplikasi serta turut menyokong mod hidup/mati automatik. Sempena pelancaran, setiap pembelian layak menerima 10x My Sony Loyalty Points dan juga potongan 10% untuk pembelian di kedai Sony kecuali barangan PlayStation.

Komen