Antara kelebihan cip Apple A17 Pro yang digunakan pada iPhone 15 Pro dan 15 Pro Max ialah kemampuan menjalankan permua versi dengan grafik tahap konsol pada sebuah telefon pintar. Assassin’s Creed Mirage, Death Stranding dan Resident Evil 4 adalah tiga permainan yang dipaparkan serta diiklankan secara meluas semasa siri iPhone 15 dilancarkan September tahun lalu.

Kini menurut analisa yang dilakukan oleh Mobilegamer.biz, ketiga-tiga permua ini tidak mendapat sambutan oleh pengguna. Berdasarkan anggaran data daripada Appfigures, Assassin’s Creed Mirage dimuat turun sebanyak 123,000 kali tetapi hanya mencatatkan pendapatan $138,000. Ini kerana permua boleh dimuat turut secara percuma untuk dicuba dan kemudian dibeli pada harga $49.99 untuk menyahkunci misi-misi yang lain. Oleh itu ini bermakna Mirage hanya terjual sebanyak 3000 unit.
Sementara itu dianggarkan 7000 unit Resident Evil 4 dan 10,600 unit Death Stranding sahaja berjaya dijual di iOS. Angka yang amat rendah untuk ketiga-tiga permainan yang mencatatkan jualan jutaan unit pada konsol serta PC. Ubisoft, Capcom dan Kojima Production belum pernah berkongsi angka jualan rasmi kesemua permua terbitan mereka ini secara rasmi.
Ini mungkin kerana ketiga-tiga permainan direka untuk konsol dan daripada pengalaman kami sendiri memainkannya pada skrin iPhone 15 Pro Max sekalipun ia terlalu kecil. Kuali grafik juga tidak setanding yang boleh dinikmati pada PlayStation 4 yang sudah berusia 11 tahun. Setakat ini permainan yang mendapat sambutan hangat pada telefon pintar adalah yang dibangunkan secara natif untuk peranti mudah alih seperti COD Mobile, Mobile Legends dan PUBG Mobile.