Bulan lepas Google telah memperkenalkan Imagen3 iaitu penjana imej kecerdasan buatan baharu mereka. Buat masa ini hanya pembangun dan pengguna terpilih sahaja boleh menguji Imagen3, itu pun melalui ImageFX. Akan datang, Google dilihat ingin membenarkan pengguna Gemini Advance mencuba penjana imej baharu mereka secara lebih awal.
Android Authority melaporkan yang aplikasi beta Google versi 15.25.31.29 mempunyai ciri menggunakan Imagen3 tersembunyi. Apabila kali pertama diaktifkan, tetingkap dengan teks “First Look: Imagen3” dipaparkan menjelaskan kepada pengguna ciri dan fungsi yang ditawarkan. Pengguna yang layak kemudian boleh terus menggunakan ruang sembang Gemini untuk meminta AI Google ini menjana imej yang diingini.

Imagen3 boleh menjana imej yang lebih realistik berbanding model sebelum. Selain itu ia turut boleh menjana teks dengan lebih tepat. Jika anda ingin menggunakan Imagen3 secara lebih awal, Gemini Advance boleh dilanggan melalui Google One AI Premium yang berharga RM97.99 sebulan.