Carian
Ulasan Sony Reon Pocket 5 – Melepaskan Azab Panas Di Dunia
July 2, 2024 Fahim Zahar

Sejak kebelakangan ini penggunaan kipas mudah alih menjadi trend. Bukan sahaja kerana cuaca yang tidak menentu, tetapi kipas berjenama JISULIFE kini adalah satu trend gaya hidup. Bagi yang tidak tahu, sejak 2019 lagi Sony telah terlibat dengan trend penyejuk mudah alih melalui Reon Pocket. Tahun ini mereka telah hadir dengan generasi kelima iaitu Reon Pocket 5 dan saya telah cuba menggunakannya. Dalam artikel ini akan saya kongsi pengalaman penggunaan pendingin hawa mudah alih ini.

SPESIFIKASI DAN REKAAN

Anda bayangkan kipas penyejuk untuk telefon pintar yang boleh memberi suhu sejuk seakan peti ais sehingga meninggalkan kesan air, tetapi untuk tubuh manusia. Ia juga bersaiz kecil dengan bahagian utama memberi kesan sejuk adalah pada pad besi yang terdedah pada Reon Pocket 5. Turut terdapat tiga cara penggunaan sama ada dengan dua saiz pelindung kekisi udara keluar atau tanpa sebarang pelindung. Sony turut memberi tiga mod penggunaan automatik iaitu SMART COOL mode / SMART COOL⇔WARM mode / SMART WARM mode.

Reon Pocket 5 mempunyai 5 tahap sejuk dan 4 tahap pemanasan. Peranti ini turut dipasang dengan gam khas untuk memastikan suhu sejuk dan suam terkawal. Sistem Bluetooth untuk sambungan ke peranti adalah Bluetooth 5.0 manakala bateri terbina pula adalah jenis Lithium. Cekak leher dilindungi dengan sejenis silikon untuk cengkaman dan penggunaan lebih selesa. Pendingin hawa mudah alih ini turut direka dengan tubuh nipis yang sedikit melengkung agar mudah disangkut di leher dan proses penyejukan boleh terus merebak ke tubuh pengguna.

PENGALAMAN PENGGUNAAN

Selama ini, penyejuk yang saya gunakan adalah JISULIFE Portable Mini jet Fan 3600mAh yang berharga sekitar RM109. Ia adalah jenama yang popular dan memfokuskan kepada kipas berkelajuan turbo dalam tubuh mini. Kipas ini pun sudah memuaskan hati saya apatah lagi pendingin hawa mudah alih Sony ini. Kali pertama saya menggunakannya adalah ketika saya memakai jaket hitam dengan baju-T yang agak tebal dan saya amat terkejut apabila saya langsung tidak berpeluh sepanjang 3 jam saya memakai pakaian ini.

Untuk individu yang mudah berpeluh lagi-lagi memakai pakaian berlapis, Reon Pocket 5 sangat membantu menyejukkan tubuh. Kali pertama penggunaan juga hebat sekali kerana proses penyejukan berlaku dengan sangat pantas iaitu sekitar 10 saat pertama. Begitu juga proses pemanasan ke suhu yang suam, ia berlaku dengan sangat pantas.

Penukaran suhu suam ke sejuk dan sejuk ke suam jika leka melakukan kerja atau menonton video turut boleh rasa seakan ada orang melakukan aksi jenaka memasukkan air batu atau batu panas ke dalam belakang baju.

Sony turut menyertakan pelindung kekisi udara keluar dengan dua saiz berbeza. Yang kecil untuk baju-T biasa sementara yang panjang untuk kemeja-t atau pakaian dengan kolar lebih tinggi. Pelindung ini berfungsi untuk ciri kipas, yang hanya berpusing seakan kipas komputer riba tanpa udara panas. Ia tidak cukup sejuk berbanding mod Cool.

Cekak leher yang sedia terbina mempunyai pelindung silikon yang memberi cengkaman tambahan serta selesa pada kulit. Ia juga ringan dan mudah digunakan ketika berjalan kaki, solat, dan pelbagai aktiviti lain. Satu keluhan saya adalah Reon Pocket 5 ini hanya didatangkan dengan warna putih, untuk individu yang cepat berpeluh saya risau kotoran daki akan mudah melekat berbanding penawaran berwarna lain yang lebih gelap.

GUNA SAMBIL TUNGGANG MOTOSIKAL EV

Saya turut ada memberikan rakan sepejabat Reon Pocket 5 untuk digunakan ketika menunggang skuter BMW CE 04 beliau. Untuk perjalanan pendek sekitar kurang 30 minit, ia memberi rasa sejuk yang baik dengan memakai jaket tebal. Cuma disebabkan pad penyejukan yang kecil dan pergerakan motor yang laju, proses suhu sejuk itu merebak tidak begitu lancar dan sejuk kerap terasa di bahagian atas badan belakang sahaja.

REON TAG

Tag kecil ini dimuatkan dengan pelbagai sensor seperti sensor suhu dan kelembapan, sensor cahaya ambien dan juga sensor pemecut. Reon Tag adalah aksesori wajib untuk menggunakan Smart Climate Control kerana ia boleh mengesan pergerakan pengguna untuk menjimatkan lagi bateri serta menentukan suhu terbaik untuk Reon Pocket 5. Cara penggunaan adalah mudah kerana aplikasi Reon Pocket akan mengesan teg ini dengan pantas dengan syarat tiada tag lain berdekatan. Harga jualan tag ini adalah RM159 tetapi ia diberikan percuma untuk pembelian kali pertama.

AKSESORI LAIN

Siapa sangka Reon Pocket 5 ini pun ada ekosistem aksesori asli tersendiri. Sony Malaysia turut ada menjual kantung penyimpan yang diperbuat daripada poliester dan kusyen. Ia dijual pada harga RM119. Sony turut menjual cekak leher ganti biasa dan saiz kecil untuk sesuai digunakan dengan pelbagai jenis pengguna pada harga RM109. Akhir sekali, Reon Tag ganti jika ia sudah hilang turut dijual pada harga RM159.

BATERI

Reon Pocket 5 mempunyai ketahanan bateri sepanjang hari. Penggunaan Smart Climate Control boleh memastikan sejuk tahap 4 digunakan sehinggga 7.5 jam. Jika menggunakan kawalan manual, sejuk tahap 1 boleh bertahan sehingga 17 jam. Jika mod suam digunakan, bateri akan lebih cepat habis. Tempoh pengecasan pula adalah hampir 3 jam untuk pengecasan penuh. Dalam cubaan saya, menggunakan Reon Pocket 5 ketika bateri sekitar 35%, ia tiada masalah untuk bertahan sehingga 3 jam asalkan menggunakan mod Smart Climate Control.

KAWALAN DAN APLIKASI

Kawalan pada Reon Pocket 5 dan Reon Tag adalah melalui satu butang fizikal yang aneh. Ia tiada pintasan untuk tekan dua kali sebaliknya setiap produk hanya boleh tekan sekali untuk dihidupkan. Lain-lain kawalan adalah melalui aplikasi atau sensor akan menentukan sama ada Reon Pocket 5 patut dimatikan ataupun tidak.

Aplikasi Reon Pocket tidak begitu mesra pengguna seperti Sony Headphones. Antaramukanya banyak bergantung kepada teks dan serabut untuk digunakan. Saya yang sudah menggunakan Reon Pocket 5 untuk beberapa hari turut masih berasa keliru dengan aplikasi ini. Saya amat mengharapkan Sony boleh mengambil Bravia Connect sebagai inspirasi untuk rekaan antaramuka aplikasi.

APA ADA DALAM KOTAK

Dengan setiap pembelian Sony Reon Pocket 5 anda akan menerima;

  • 1x Reon Pocket 5.
  • 2x Pelindung Liang Udara.
  • 1x Cekak leher.
  • 1x Reon Tag.
  • 1x Kabel USB-A ke USB-C.
  • 1x Set panduan dan buku keselamatan

KESIMPULAN

Sony Reon Pocket 5 adalah gajet kipas mudah alih yang menarik. Sony menggunakan konsep kipas penyejuk yang biasanya dikeluarkan untuk gaming, mengubahnya menjadi pendingin hawa mudah alih. Sony mungkin ingin mengikut jejak langkah Jisulife iaitu pengeluar kipas mudah alih China yang cukup popular sekarang kerana sudah aktif sejak tahun 2016 berbanding siri Reon yang baru bermula tahun 2019.

Untuk harga RM799 ia agak mahal, malah harga ini sudah boleh membeli pendingin hawa mudah alih di rumah. Walau bagaimanapun untuk konsep pendingin hawa mudah alih yang boleh memberi sejuk seakan air batu di dalam baju, dan benar-benar membantu saya memakai baju berlapis tanpa berpeluh adakah satu perkara yang menarik. Cuma harga jualan yang mahal sukar untuk meyakinkan orang ramai membelinya.

PRO DAN KELEBIHAN

  • Reon Pocket 5 cepat sejuk dan boleh mengurangkan peluh.
  • Rekaan nipis dan futuristik seakan gajet untuk modifikasi tubuh manusia.
  • Reon Tag yang menarik kerana boleh mengubah suhu mengikut keadaan semasa.
  • Corong kekisi udara keluar berbeza saiz untuk saiz kolar baju berbeza.
  • Cekak leher dengan cengkaman baik, pakai ketika solat tidak ada masalah.
  • Ringan dan selesa di leher.

KONTRA DAN KEKURANGAN

  • Suhu sejuk lambat merebak ke seluruh tubuh badan.
  • Kekuatan kipas tidak sekuat kipas mudah alih lain di pasaran.
  • Reon Tag kerap terputus sambungan menyebabkan ciri Auto Climate kerap tidak berfungsi.
  • Harga jualan yang agak mahal.
Komen