YouTube hari ini telah mengumumkan banyak ciri baharu untuk pelanggan Premium mereka. Selain membenarkan Shorts ditonton dengan mod gambar-dalam-gambar, YouTube mengumumkan yang mereka ingin menambah lebih banyak pelan langganan kepada pengguna di seluruh dunia.

Sekarang terdapat tiga pelan di Malaysia iaitu individu pada harga RM17.90 sebulan, kemudian keluarga untuk RM33.90 yang boleh berkongsi dengan lima akaun lain serta pelan pelajar pada harga RM10.90 sebulan. Setiap langganan ini tiada iklan pada video dan muzik, YouTube Music percuma dan banyak lagi. Tiada informasi mengenai pelan baharu apa yang ingin ditambah, tetapi salah satunya adalah kemampuan berkongsi manfaat YouTube Premium dengan rakan-rakan.

Dengan YouTube kini membatalkan langganan bagi mereka yang menggunakan VPN untuk mendapatkan harga lebih murah serta membisukan video bagi yang menggunakan penghalang iklan, pasti ramai mahukan pelan langganan yang lebih murah atau benar-benar berbaloi. Mana tahu akan ada pelan premium hanya untuk bebas iklan dan ciri lain perlu bayar tambahan, sama-sama kita nantikan.